
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menyuarakan bantahan terhadap pendekatan terbaharu Kerajaan Persekutuan yang dilihat cuba memberi laluan kepada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) secara tidak langsung.
Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Ismail Mahat berkata, kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung keputusan Jemaah Menteri membenarkan pelajar memperoleh kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah memohon ke universiti awam, jelas membuka ruang kepada pengiktirafan sijil tersebut secara tersirat.
Menurutnya, keadilan dalam sistem pendidikan negara mesti ditegakkan dan tidak boleh dikompromi.
Beliau juga mengingatkan bahawa semua pihak tanpa pengecualian seharusnya tertakluk dan patuh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Pelajar yang mengikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras.
“Sebarang sistem pendidikan lain juga perlu mematuhi prinsip serta standard yang sama demi memastikan keadilan kepada semua pelajar,” katanya.
Beliau juga menegaskan sebarang usaha mengiktiraf UEC, sama ada secara langsung atau melalui kaedah halus, adalah bercanggah dengan dasar pendidikan nasional serta boleh menimbulkan ketidakadilan dalam sistem pendidikan negara.
“Isu ini wajar dibincangkan secara telus, terbuka dan berprinsip, bukannya melalui keputusan senyap yang mengelirukan rakyat,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, Anthony Loke berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meminda dasar bagi membolehkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan menduduki hanya kertas Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan SPM.
Ketika berucap pada majlis di Sekolah Menengah Pay Fong, Melaka, Anthony memaklumkan bahawa Mesyuarat Kabinet telah memutuskan mana-mana pelajar yang mendapat kepujian dalam dua mata pelajaran tersebut layak memohon ke universiti awam. – HARAKAHDAILY 26/1/2026











