
KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia mengecam sekeras-kerasnya penahanan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Pengarah Ameerah merangkap pimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Mardhiyyah Johari berkata, remaja terbabit ditahan bersama bapanya ketika melalui sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Jitra, meskipun gadis berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Menurutnya, penahanan itu dibuat atas syak penglibatan dalam kegiatan pemerdagangan manusia, walaupun difahamkan hanya bapa remaja tersebut pernah dipenjarakan sebelum ini.
Mardhiyyah menegaskan pihak berkuasa sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan, khususnya apabila melibatkan individu di bawah umur 18 tahun yang masih dikategorikan sebagai kanak-kanak menurut undang-undang.
“Undang-Undang Malaysia yang melindungi kanak-kanak melalui Akta Kanak-Kanak 2001 sewajarnya dipatuhi oleh penguatkuasa. Kanak-kanak mesti dilindungi.
“Menahan beliau di bawah SOSMA yang mengandungi begitu banyak kelompangan hak asasi manusia adalah satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, walaupun remaja perempuan itu telah dibebaskan, Mardhiyyah berkata perkembangan tersebut menuntut semua pihak bermuhasabah terhadap tindakan yang diambil.
“Kerajaan harus memastikan bahawa perbuatan seumpama ini tidak akan berulang lagi (pada masa akan datang),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor.
Terdahulu, kes tersebut dilaporkan media tempatan mula mendapat perhatian selepas ibu remaja berkenaan mendedahkan anaknya ditahan di sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Jitra pada 14 Januari lalu atas syak wasangka berkaitan penyeludupan warga asing.
Remaja itu ditahan bersama bapanya dan beberapa individu lain untuk siasatan di bawah SOSMA serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. – HARAKAHDAILY 26/1/2026











