
JAKARTA: Cuaca yang bertambah baik pada hari Ahad telah membantu penyelamat di pulau utama Indonesia, Jawa, menemui lebih ramai mayat mencecah 25 ketika mereka menggali lumpur dan serpihan untuk mencari puluhan mangsa yang hilang dalam kejadian tanah runtuh yang mengorbankan lebih daripada dua dozen penduduk kampung.
“Sebuah pasukan pencari yang terdiri daripada 250 orang pada hari Ahad telah mengumpulkan mayat-mayat mangsa, termasuk bahagian badan, dalam 14 beg mayat, menjadikan jumlah yang ditemui kepada 25 orang,” kata Ade Dian Permana, yang mengetuai pasukan tempatan dalam operasi mencari dan menyelamat, lapor AFP Indonesia.
“Mereka (mayat-mayat mangsa korban) akan diserahkan kepada saudara-mara masing-masing sebaik sahaja dikenal pasti oleh pakar forensik,” tambahnya.
Tanah runtuh kira-kira pada jam 2.30 pagi di lereng Gunung Burangrang, Bandung Barat, Jawa Barat, pada Ahad telah menimbus kira-kira 34 buah rumah di kampung Pasir Langu.
Pada hari Ahad, sekurang-kurangnya 72 orang masih hilang, lapor AFP Indonesia lagi, ramai yang dikhuatiri tertimbus di bawah bertan-tan lumpur, batu dan pokok yang tumbang.
Sementara, ira-kira 230 penduduk yang tinggal berhampiran tapak tersebut telah dipindahkan ke tempat perlindungan kerajaan.
Video yang dikeluarkan oleh agensi pencarian menunjukkan penyelamat menggunakan peralatan ladang dan tangan kosong untuk menarik mayat dari lumpur.
Ade berkata bahawa tanah yang longgar di lereng telah menghalang peralatan berat daripada digunakan. Beliau menganggarkan timbunan lumpur setinggi 5 meter (16 kaki), dengan berkata “pasukan kami mesti bergerak dengan berhati-hati.”
“Sesetengah rumah tertimbus sehingga ke paras bumbung,” tambah Ade.
Dalam pada iu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Mohammad Syafii, berkata pasukan juga menggunakan dron dan K-9 untuk mencari mayat-mayat mangsa di sepanjang tanah runtuh yang terbentang lebih daripada 2 kilometer (1.2 batu).
Sementara ketika melawat kawasan kejadian itu pada hari Ahad, Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka berikrar bahawa pihak berkuasa akan mengambil langkah untuk mencegah bencana yang serupa.
Beliau menggesa pihak berkuasa tempatan di daerah Bandung Barat untuk ‘menangani isu penukaran tanah di kawasan yang mudah dilanda bencana’, termasuk cara untuk mengurangkan risiko.
Aktivis alam sekitar sebelum ini mengatakan tanah runtuh yang membawa maut di daerah Bandung Barat bukan sekadar bencana alam yang dicetuskan oleh hujan lebat, tetapi akibat daripada degradasi alam sekitar selama bertahun-tahun akibat penukaran tanah untuk pembangunan yang melanggar peraturan penggunaan tanah di rantau ini.
Wahyudin Iwang dari Walhi Jawa Barat, sebuah kumpulan alam sekitar Indonesia, berkata tanah runtuh pada Sabtu yang berlaku ketika penduduk sedang tidur itu mencerminkan pengabaian peraturan perancangan ruang yang telah lama berlaku di Kawasan Bandung Utara, atau KBU, zon pemuliharaan yang merangkumi kira-kira 38,543 hektar merentasi empat bandar dan daerah di Jawa Barat, termasuk Bandung Barat.
Menurut beliau, kawasan tanah tinggi yang dilindungi itu berfungsi sebagai zon tadahan air kritikal dan penampan alam sekitar untuk Lembangan Bandung, salah satu wilayah paling padat penduduk di Indonesia.
“Tanah runtuh ini adalah pengumpulan aktiviti yang tidak selaras dengan perancangan ruang dan fungsi alam sekitar,” kata Iwang.
Di pusat bantuan sementara, penduduk kampung berkumpul, meneliti senarai mangsa hilang yang dikemas kini dan menunggu berita tentang saudara-mara.
Pegawai penyelamat berkata operasi itu akan diteruskan tanpa henti selagi keadaan mengizinkan, tetapi memberi amaran bahawa hujan yang lebih banyak boleh menjejaskan lagi kestabilan cerun.
Hujan bermusim dan air pasang besar dari sekitar Oktober hingga April kerap menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Indonesia, sebuah kepulauan yang mempunyai lebih daripada 17,000 pulau di mana berjuta-juta orang tinggal di kawasan pergunungan atau berhampiran dataran banjir yang subur.











