
KOTA KINABALU: Muslimat PAS Sabah mempunyai potensi besar sebagai pemimpin masa hadapan.
Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu berkata muslimat PAS ibarat mutiara yang memiliki kelebihan tersendiri dan menyeru agar seluruh saf muslimat terus mempersiapkan diri sebagai pemimpin umah yang berwibawa dan berintegriti.
“Alhamdulillah, kemenangan sulung PAS Sabah dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DU) Sabah ke-17 selepas 39 tahun penubuhan PAS di negeri ini merupakan hasil kerja kolektif semua jentera parti, khususnya peranan besar Muslimat PAS dalam gerak kerja kebajikan, dakwah dan politik.
“Kemenangan ini membuktikan keupayaan Muslimat PAS Sabah sebagai antara penggerak utama dalam usaha menawan sokongan rakyat,” katanya dalam ucapan penggulungan Program Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, di Likas Square, semalam.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan memenangi beberapa kerusi DUN bukanlah sesuatu yang sia-sia, sebaliknya setiap gerak kerja yang dilakukan adalah sebahagian daripada proses tarbiah dan perjuangan jangka panjang parti.
Sehubungan itu, Norsah menyeru agar muslimat terus konsisten dalam melaksanakan amanah dakwah dan khidmat kepada masyarakat.
“Tahun hadapan kita bakal bertemu dengan Pilihan Raya Umum ke-16, yang juga menuntut komitmen lebih besar daripada seluruh jentera parti, khususnya Muslimat PAS.
“Muslimat perlu bersiap siaga dan bersama-sama memikul tanggungjawab untuk memperkukuh sokongan rakyat terhadap parti ini,” ujarnya.
Beliau turut menggesa Muslimat PAS supaya terus membina hubungan baik dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang parti, kaum dan agama, selaras dengan pendekatan dakwah yang inklusif.
Tambahnya, hubungan erat dengan ketua-ketua komuniti setempat perlu diperkasakan bagi memastikan PAS terus diterima sebagai parti yang membawa politik baik dan politik solusi.
“Kukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli dengan memperbanyakkan program usrah, ziarah dan komunikasi sesama pimpinan serta ahli.
“Teruskan munajat AKIFI sebagai pengukuhan rohani dalam perjuangan kita,” katanya lagi.

Selain itu, beliau mengingatkan Muslimat PAS agar tidak bersikap eksklusif, sebaliknya perlu menjalin kerjasama dengan wanita-wanita di kawasan masing-masing bagi memperluas jaringan dakwah dan kebajikan.
Pendekatan ini, katanya, penting untuk meletak muslimat PAS sebagai contoh peranan wanita dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.
Turut berucap dalam program tersebut adalah Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Uyun Abd Malek, Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan dan Media Baharu DMPM, Aida Mohd, dan Ahli Jawatankuasa Jabatam Teknologi Maklumat dan Data Raya DMPM, Rohaiza Wahab. – HARAKAHDAILY 25/1/2026











