Pemimpin harus jadi pelayan kepada rakyat

Dr Haim Hilman Abdullah
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dr Haim Hilman Abdullah, menegaskan bahawa kejayaan sulung PAS memenangi kerusi DUN Karambunai harus dijadikan model pentadbiran terbaik peringkat DUN yang diimpikan oleh rakyat Sabah dan seluruh negara.

- Advertisement -

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu, kemenangan tersebut bukanlah satu kebetulan, sebaliknya merupakan amanah serta kepercayaan yang perlu dizahirkan melalui perkhidmatan yang tertib dan patuh kepada arahan parti.

Beliau mengingatkan jentera agar tidak sombong dengan kejayaan tersebut dan sentiasa menjaga akhlak dalam berpolitik.

Haim turut memberikan ketegasan terhadap ancaman sistem pentadbiran tanpa nilai yang sedang membarah, termasuk amalan nepotisme, kronisme, kleptokrasi, dan kakistokrasi.

Katanya, pemimpin seharusnya menjadi pelayan (servant) kepada rakyat dan bukannya menggunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan keluarga.

Tambahnya, lanskap politik Sabah yang sentiasa berubah, cabaran ekonomi yang membelit rakyat, dan krisis identiti generasi muda memerlukan satu jawapan tuntas, kepimpinan yang segar, berprinsip, dan membumi.

“Kehidupan rakyat sengsara bagaikan pengemis di tanah air sendiri, penyelesaian PAS adalah politik amanah, politik akhlak, kembali kepada penyelesaian Islam adalah penyelesaian menyeluruh,” ujarnya ketika membentang perbahasan dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS ke-71 Peringkat Negeri Sabah di Likas Square Ballroom, di sini, semalam.

Ini, tambahnya bukan hanya sekadar slogan, tetapi kerangka lengkap untuk membina negara, masyarakat dan manusia.

“Jadikan kemenangan ini sebagai tanggungjawab besar, bukan alat balas dendam kepada seteru politik, pentadbiran PAS tidak membalas penindasan lama, sebaliknya membantu semua tanpa mengira latar belakang penyokong,” katanya.

Turut bersama dalam majlis tersebut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari dan Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan. – HARAKAHDAILY 25/1/2026

- Advertisement -