
KUALA LUMPUR: Cadangan melaksanakan ujian saringan atau ujian kelayakan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun sebelum dibenarkan masuk sekolah disifatkan sebagai satu pelanggaran jelas terhadap prinsip asas pendidikan awam.
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, apabila kerajaan menetapkan umur mula persekolahan, maka menjadi tanggungjawab semua sekolah awam untuk memastikan kanak-kanak yang mencapai umur itu menerima pendidikan tanpa sebarang bentuk penolakan atau diskriminasi.
“Tiada alasan untuk sekolah awam menolak mana-mana anak warga negara mendapat hak persekolahan masing-masing.
“Apatah lagi dinafikan hak anak-anak ini dengan cara pemilihan atau amalan ‘discriminate’ melalui apa juga cara termasuk ujian saringan atau kelayakan,” katanya dalam media sosial miliknya, hari ini.
Menurut Dr Anuar, istilah ujian diagnostik atau pengesanan yang digunakan dalam konteks ini juga tidak tepat kerana hakikatnya ia adalah ujian kelayakan yang bersifat mengecualikan.
Beliau merujuk Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang menetapkan umur mula persekolahan bermula enam tahun pada 2027 dan menyifatkannya sebagai satu dasar pendidikan yang baik, namun menegaskan pelaksanaannya mesti selari dengan prinsip keadilan akses pendidikan.
“Apabila anak-anak telah mencapai umur persekolahan, maka menjadi tanggungjawab sekolah nanti untuk menyediakan semua keperluan anak-anak tersebut.
“Hatta anak-anak yang berkeperluan khas, anak-anak OKU, anak-anak berada dalam hospital atau anak-anak dari keluarga miskin tegar, semuanya wajib dibantu untuk mereka mula bersekolah apabila mencapai umur persekolahan.
“Itu adalah hak asasi anak-anak untuk mendapat pendidikan bila mencapai umur persekolahan,” katanya yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM).
Dr Anuar menegaskan, dalam sistem pendidikan awam, tidak pernah wujud amalan membenarkan kanak-kanak yang telah mencapai umur persekolahan ditolak daripada bersekolah atas alasan belum bersedia.
“Saya nak tanya, adakah dalam kalangan anak-anak tujuh tahun, semuanya cukup bersedia masuk sekolah? Mengapa tidak dilakukan ujian kelayakan juga pada mereka?
“Mengapa tidak pernah sesiapa pun selama ini bertanya ‘anak-anak 7 tahun bersedia atau tidak untuk mula sekolah?’
“Jika diikutkan, bukan semua anak-anak yang berumur 7 tahun bersedia ke sekolah. Bukan semua anak-anak 7 tahun stabil emosi mereka atau pandai urus diri. Tetapi mereka tetap diwajibkan bersekolah mengikut Akta Pendidikan 1996,” tempelaknya.
Beliau berkata, soal kesediaan tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana apabila kerajaan menetapkan umur enam tahun sebagai umur mula persekolahan, maka semua kanak-kanak pada usia itu layak dan wajib diterima masuk ke sekolah tanpa pengecualian.
Menurutnya, tanggungjawab sekolah adalah membuat perancangan bagi memenuhi keperluan pembelajaran murid, bukannya menafikan hak mereka untuk bersekolah.
“Jika anak-anak tidak bersedia kerana ada masalah pembelajaran, maka guru-guru pemulihan disediakan di sekolah.
“Jika anak-anak tidak bersedia kerana ada isu emosi, maka kaunselor disediakan di sekolah.
“Jika anak-anak tidak bersedia kerana keluarga miskin tegar, maka bantuan kewangan disediakan di sekolah.
“Jika anak-anak tidak bersedia kerana lapar, tidak cukup makan, maka RMT (Rancangan Makanan Tambahan) disediakan di sekolah.
“Jika ada anak-anak tidak bersedia kerana tak ada alat tulis, uniform dan beg sekolah, maka pihak sekolah akan sediakan.
“Jika anak-anak tidak bersedia kerana mempunyai masalah menguruskan diri, guru-guru kelas disediakan untuk membantu anak-anak,” jelasnya memberikan solusi.
Tambahnya, guru kelas tahun satu juga selama ini memainkan peranan besar membantu murid yang belum bersedia, termasuk membimbing mereka mengurus diri dan menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.
Dr Anuar menegaskan, semangat pendidikan negara sejak merdeka ialah membantu setiap kanak-kanak yang mencapai umur persekolahan mendapatkan hak pendidikan tanpa halangan.
“Maksudnya, bila anak-anak mencapai umur persekolahan, tidak boleh ada sebarang halangan, saringan apatah lagi ditolak untuk anak-anak ini mula ke sekolah.
“Kerajaan bertanggungjawab memberikan sepenuhnya bantuan yang diperlukan oleh anak-anak tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya penetapan had umur mula persekolahan dibuat dengan penuh tanggungjawab dan kajian mendalam.
“Jangan sesekali dalam keadaan kita tidak bersedia, had umur persekolahan diturunkan. Jangan perjudikan pendidikan anak-anak.
“Kononnya, jika tunggu bersedia sepenuhnya, bila nak mula? Kena cuba dulu? Ini bukan soal ‘cuba-cuba’. Ini soal pendidikan anak-anak,” katanya.
Dr Anuar berkata, setiap kanak-kanak enam tahun yang dinafikan hak bersekolah akan melalui pengalaman diskriminasi, walaupun alasan yang digunakan kononnya mereka belum bersedia.
“Ini alasan yang sangat naif dan tidak konsisten. Ini isu kesenjangan pendidikan yang pasti akan melebar. Ini isu keadilan akses pendidikan yang diabaikan. Tentu tak ramai yang nampak ini isu yang serius,” katanya.
Beliau menegaskan, cadangan melaksanakan ujian diagnostik (saringan atau ujian kelayakan) terhadap murid enam tahun perlu dibatalkan.
“Biarlah semua anak-anak yang mencapai umur 6 tahun bersekolah. Apabila sudah masuk sekolah nanti, guru-guru dan pihak sekolah akan aturkan keperluan setiap anak-anak ini.
“Cadangan mengadakan ujian seperti ini adalah tidak wajar dan terang-terangan melanggar prinsip asas pendidikan awam. Malah jelas tidak menepati hasrat dan semangat pendidikan Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2026











