The Voice of Hind Rajab raih pencalonan Oscar

Filem kisah kekejaman Zionis Israel terhadap kanak-kanak Palestin diiktiraf global

Satu adegan filem The Voice of Hind Rajab yang kini sedang ditayangkan di Malaysia.
- Advertisement -

LOS ANGELES: Filem The Voice of Hind Rajab mengenai tragedi kematian kanak-kanak Palestin angkara pencerobohan Zionis Israel di Sememanjung Gaza meraih pengiktirafan global apabila terpilih dalam pencalonan Oscar Anugerah Akademi ke-98 bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

- Advertisement -

Filem arahan pengarah Tunisia, Kouther Ben Hania itu bakal bersaing dengan empat filem lain yang turut terpilih dalam kalangan ‘Top 5’ naskhah terbaik dalam kategori tersebut, terdiri daripada The Secret Agent, It Was Just an Accident, Sentimental Value dan Sirât.

Pencalonan itu diumumkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences, malam tadi, sementara majlis Anugerah Akademi tersebut dijadualkan berlangsung di sini pada 15 Mac ini.

Sebelum pencalonan Oscar diumumkan, The Voice of Hind Rajab menang anugerah Silver Lion Grand Jury Prize di Festival Filem Antarabangsa Venice ke-82 pada September 2025, iaitu penghormatan kedua paling tinggi di festival berprestij itu.

Tayangan perdana filem ini juga mencatat tepukan berdiri selama hampir 24 minit, satu rekod luar biasa dalam sejarah festival tersebut.
Selain kejayaan di Venice, filem ini turut ditayangkan sebagai pembukaan dan penutup beberapa festival filem besar termasuk di Doha Film Festival dan Cairo International Film Festival, sekali lagi menunjukkan penerimaan positif penonton serta pengkritik.

Pencapaian lain termasuk pencalonan Golden Globe dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik, menambah lagi pengiktirafan antarabangsa terhadap karya yang menampilkan penceritaan berasaskan pengalaman kemanusiaan ini.

Kejayaan The Voice of Hind Rajab bukan sahaja mencerminkan kekuatan naratif sinematiknya, tetapi juga membuka perbincangan global tentang konflik, kemanusiaan dan suara-suara yang sering tidak didengari di kawasan perang.

Dengan pencalonan Oscar yang diumumkan, filem ini dijangka akan terus menjadi salah satu tajuk paling dibincangkan di musim anugerah 2026, serta membawa isu yang diangkatnya ke perhatian penonton seluruh dunia.

Di Malaysia, The Voice of Hind Rajab mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 Januari 2026.

Filem ini mengisahkan tragedi Hind Rajab, kanak-kanak Palestin berusia lima tahun, yang terbunuh bersama ahli keluarganya selepas 355 das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan Kia Picanto yang dinaiki mereka, daripada jentera tentera Merkava milik rejim Zionis.

Dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PBSM Palestin), filem ini menggunakan audio sebenar terakhir Hind Rajab sebagai tunjang penceritaan. Suara ketakutan seorang kanak-kanak yang menunggu bantuan itu menjadi nadi emosi yang menghubungkan penonton dengan realiti kehidupan di Gaza.

Rakaman tersebut turut memperlihatkan penantian Hind Rajab selama lebih tiga jam akibat sistem koordinasi Israel yang ketat dan perlahan, sekali gus mencerminkan kesukaran penduduk Gaza mendapatkan bantuan kecemasan.

Melalui pendekatan sinematografi yang sarat emosi, termasuk penggunaan close-up, filem ini membawa penonton menyelami ketakutan, harapan dan kesunyian yang dialami Hind Rajab sebelum nyawanya terhenti.

The Voice of Hind Rajab bukan sekadar sebuah filem, tetapi peringatan tentang hak kanak-kanak untuk hidup tanpa ketakutan, serta tanggungjawab dunia untuk tidak terus berpaling.

- Advertisement -