
SUNGAI BULOH: Pembangunan pesat tidak seharusnya menjadi ‘tiket’ untuk mengorbankan kesihatan dan keselamatan awam, sebaliknya kesejahteraan rakyat mestilah diletakkan sebagai keutamaan tertinggi mengatasi keuntungan projek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, penduduk di Taman Matang Jaya, di sini, kini menuntut tindakan konkrit daripada pihak berkuasa dan bukan lagi janji kosong setelah sekian lama dihimpit derita pencemaran.
Beliau meluahkan kekecewaan terhadap situasi kritikal yang seolah-olah tiada berkesudahan walaupun aduan demi aduan berhubung isu habuk tebal dan bau diesel telah diajukan kepada pihak berwajib sejak April 2025.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, Ab Halim mendedahkan realiti kehidupan penduduk yang terjejas teruk apabila kediaman mereka sentiasa disaluti debu, manakala pakaian yang disidai berbau minyak, sekaligus mengancam tahap kesihatan komuniti.
“Lebih membimbangkan, penduduk turut hidup dalam ketakutan akibat aktiviti letupan kuari berhampiran yang digambarkan umpama ‘gempa bumi kecil’ apabila gegaran kuat dirasai setiap kali letupan berlaku.
“Malah, rekod menunjukkan terdapat insiden batu besar terpelanting seolah-olah ‘meteor’ sehingga hinggap di bumbung rumah, menyebabkan keretakan dinding dan kecederaan kepada penduduk.

“Letupan kuari bukan isu kecil. Keselamatan rakyat tak boleh dikompromi,” katanya yang komited memastikan insiden sedemikian tidak berulang.
Susulan itu, Pusat Khidmat ADUN Paya Jaras sekali lagi menghantar surat rasmi mendesak tindakan segera dan tuntas daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Isu kritikal ini juga pernah dibawa olehnya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini.
Beliau telah membangkitkan soalan lisan menuntut pendedahan jumlah letupan kuari yang direkodkan dari Januari hingga Mei 2025, serta penjelasan kerajaan negeri mengenai langkah keselamatan bagi melindungi penduduk sekitar Taman Matang Jaya.
Beliau turut mempersoalkan kekerapan pemantauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam mengawal tahap gegaran dan habuk yang kini mencecah tahap membimbangkan.
Tinjauan oleh pasukan Pusat Khidmat ADUN Paya Jaras pagi tadi di Jalan MJ5 mendapati kualiti udara berada pada tahap yang sangat mendukacitakan.
Kenderaan penduduk yang diparkir di bahu jalan dilihat disaluti lapisan habuk tebal, menggambarkan betapa peritnya situasi yang terpaksa ditanggung penduduk sejak bertahun-tahun lamanya.
“Penduduk sudah terlalu letih dan tertekan menunggu tindakan pihak bertanggungjawab. Saya akan terus membawa suara penduduk Taman Matang Jaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2026











