
SHAH ALAM: Pembangunan mampan tidak wajar diukur semata-mata pada label ‘moden’ atau ‘berteknologi tinggi’, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap kesejahteraan rakyat, alam sekitar dan keharmonian masyarakat.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri menegaskan bahawa kemajuan ekonomi dan perlindungan alam sekitar mestilah bergerak seiring, bukannya saling mengorbankan.
Justeru, beliau menekankan keperluan pendekatan pembangunan berasaskan bukti (evidence-based) dalam isu penternakan babi di negeri ini bagi mengelakkan risiko kesihatan awam dan pencemaran yang kritikal.
Menurutnya, kebimbangan ini berasas merujuk kepada kajian penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampung Selamat, Pulau Pinang yang diterbitkan pada tahun 2025.
Beliau menjelaskan, kajian tersebut mendapati air buangan daripada 66 ladang babi dan satu rumah sembelih berada pada tahap pencemaran serius walaupun sistem tersebut dikategorikan sebagai moden.
“Tiga pencemar utama dikenal pasti iaitu Ammoniacal Nitrogen (AN) sebagai punca bau busuk dan toksik, Biochemical Oxygen Demand (BOD) serta Chemical Oxygen Demand (COD).
“Majoriti ladang gagal mematuhi Standard B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pada September 2024, sebanyak 60 ladang (lebih kurang 84 peratus) melebihi had AN.
“Dapatan ini membuktikan bahawa sistem tertutup (closed-house) tidak menjamin pencemaran rendah kerana tiada hubungan kukuh antara jenis sistem ladang dengan tahap pencemaran. Punca sebenar ialah kelemahan pengurusan kolam rawatan dan pengendalian sisa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, PAS Selangor menawarkan pendekatan ‘jalan tengah’ yang rasional dengan mendesak kerajaan negeri meminda Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 yang kali terakhir dipinda pada 2010.
Ab Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras mencadangkan pindaan itu mesti mewajibkan kaedah Modern Pig Farming (MPF) secara perundangan, bukan sekadar garis panduan.
Beliau menggariskan beberapa syor utama termasuk keperluan melaksanakan audit alam sekitar secara bebas dan berkala tanpa hanya bergantung kepada laporan pihak berkepentingan semata-mata.
Selain itu, beliau mendesak diwujudkan mekanisme penggantungan atau pembatalan lesen secara automatik sekiranya berlaku ketidakpatuhan berulang oleh pengusaha ladang.
“Kerajaan negeri juga perlu menetapkan had pelepasan efluen berasaskan parameter utama seperti AN, BOD dan COD sebagai syarat mutlak operasi, selain memastikan setiap operasi berisiko tinggi mempunyai pelan kecemasan pencemaran sebelum kelulusan diberikan.
“Teknologi perlu menjadi alat untuk memperbaiki pengurusan dan melindungi rakyat, bukan alasan untuk menutup kelemahan sistem atau menormalisasikan pencemaran.
“Pembangunan berskala besar seperti projek ‘zero discharge’ mesti diperincikan dengan kawalan biosekuriti yang ketat sebelum dilaksanakan,” tegasnya.
Ab Halim turut mengingatkan bahawa kegagalan tadbir urus akan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat termasuk risiko pencemaran sungai, gangguan bau dan ketegangan komuniti.
Beliau menyifatkan keadaan di mana manfaat ekonomi dinikmati segelintir pihak manakala kos sosial dan alam sekitar dipikul penduduk setempat sebagai bercanggah dengan prinsip keadilan sosial.
“PAS Selangor menyeru agar setiap dasar didasari prinsip amanah. Pembangunan yang baik bukan yang paling cepat memberi keuntungan, tetapi yang paling selamat, adil dan berkat untuk jangka panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2026











