AS keluar WHO, tinggalkan hutang lebih USD130 juta

- Advertisement -

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) secara rasmi telah memuktamadkan pengundurannya daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus menamatkan hubungan hampir lapan dekad dengan agensi kesihatan global itu; namun meninggalkan hutang kewangan dan implikasi besar terhadap keselamatan kesihatan dunia.

WHO mengesahkan bahawa AS masih berhutang lebih USD133 juta melibatkan yuran keahlian bagi tahun 2024 dan 2025, meskipun negara itu telah memberi notis setahun seperti yang diwajibkan undang-undang antarabangsa.

- Advertisement -

Menurut kenyataan WHO, notis pengunduran tidak membatalkan obligasi kewangan sedia ada. Namun, pentadbiran Presiden Donald Trump menafikan kewajipan tersebut, menegaskan AS tidak perlu menjelaskan sebarang bayaran sebelum keluar sepenuhnya daripada keanggotaan WHO.

“Langkah unilateral Washington itu mencerminkan pendekatan kuasa besar yang mengabaikan komitmen multilateralisme, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab moral dan undang-undang AS dalam sistem tadbir urus global,” tegas kenyataan tersebut.

Sementara Pakar undang-undang kesihatan awam dari Universiti Georgetown, Prof Lawrence Gostin, menyifatkan keputusan itu sebagai antara yang paling merosakkan dalam sejarah kepimpinan presiden AS, dengan implikasi serius terhadap keupayaan dunia menangani pandemik baharu.

“Pengunduran ini akan melumpuhkan keupayaan global untuk bertindak balas terhadap wabak dan secara langsung menjejaskan keselamatan kesihatan rakyat Amerika sendiri,” katanya.

WHO merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab menyelaras tindak balas global terhadap ancaman kesihatan seperti Ebola, polio, mpox dan penyakit berjangkit baharu.

Hampir semua negara di dunia merupakan ahli pertubuhan tersebut.

AS sebelum ini antara penderma terbesar WHO, menyumbang secara purata USD111 juta setahun dalam yuran keahlian, selain kira-kira USD570 juta dalam sumbangan sukarela tahunan serta kepakaran teknikal melalui Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Trump dalam perintah eksekutifnya menuduh WHO gagal mengendalikan pandemik Covid-19, lambat melakukan pembaharuan dan tidak bebas daripada pengaruh politik negara anggota tertentu, termasuk China.

Pentadbiran beliau juga membangkitkan isu tiada rakyat Amerika pernah mengetuai WHO sejak ia ditubuhkan pada 1948, walaupun AS merupakan penyumbang utama.

Namun, pengkritik geopolitik melihat tuduhan tersebut sebagai alasan politik, memandangkan banyak kelemahan semasa pandemik turut berpunca daripada kegagalan dasar dalaman AS sendiri.

Susulan pengunduran itu, AS telah menghentikan penyertaan dalam semua jawatankuasa, badan kepimpinan dan kumpulan teknikal WHO, termasuk kumpulan yang menilai strain influenza global dan menentukan kemas kini vaksin selesema tahunan.

Pakar geopolitik memberi amaran bahawa langkah itu akan menyingkirkan AS daripada sistem perkongsian data kesihatan antarabangsa yang penting, sekali gus melemahkan keupayaan mengesan ancaman wabak lebih awal.

Pentadbiran Trump pula mendakwa AS akan membina hubungan dua hala secara langsung dengan negara lain bagi mendapatkan maklumat kesihatan awam, namun gagal mengemukakan butiran jelas mengenai perjanjian tersebut.

Mengulas mengenai hal itu, Gostin menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak realistik, memandangkan banyak wabak baharu dikesan di negara seperti China dan Afrika, yang mungkin enggan berkongsi data secara langsung dengan Washington, khususnya dalam konteks ketegangan geopolitik dan dasar tarif agresif AS.

Beliau turut berhujah bahawa Trump berkemungkinan telah melampaui kuasa perlembagaan, kerana penyertaan AS dalam WHO dibuat melalui akta Kongres, dan pengunduran seharusnya memerlukan kelulusan legislatif yang sama.

“Pengunduran AS daripada WHO bukan sekadar keputusan kesihatan awam, tetapi mencerminkan krisis kepimpinan global sebuah kuasa besar yang semakin menjauh daripada kerjasama antarabangsa demi kepentingan politik sempit,” katanya.

- Advertisement -