UPUOnline 2026/2027 dibuka hingga 23 Mac

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2026/2027 ke program sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda melalui UPUOnline akan dibuka bermula 29 Januari hingga 23 Mac depan, dengan pembelian nombor pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Januari ini pada harga RM10.60, termasuk caj perkhidmatan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata, tempoh berkenaan melibatkan fasa permohonan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta fasa pertama lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf.

- Advertisement -

Menurut kenyataan KPT, fasa kedua permohonan bagi lepasan STPM dan setaraf pula akan dibuka bermula 13 April hingga 23 Mac depan menerusi UPUOnline.

Permohonan berkenaan melibatkan pengambilan ke 20 universiti awam (UA), 36 politeknik, 106 kolej komuniti (KK) serta dua institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) di seluruh negara.

“Permohonan terbuka kepada pelajar lepasan SPM serta STPM dan setaraf bagi semua program pengajian pada fasa permohonan lepasan SPM dan fasa pertama lepasan STPM/setaraf.

“Bagaimanapun, bagi fasa kedua lepasan STPM dan setaraf, hanya program pengajian yang tidak melibatkan temu duga dan/atau ujian sahaja akan dibuka,” menurut kenyataan itu.

Kaedah pembelian nombor pin tersebut disediakan melalui 387 kaunter cawangan BSN, 843 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) BSN serta perbankan internet myBSN.

“BSN akan mengeluarkan nombor pin UPUOnline berserta salinan resit pembayaran. Calon dinasihatkan supaya menyimpan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian untuk rujukan,” katanya.

Sehubungan itu, KPT mempelawa semua calon yang berkelayakan agar merebut peluang menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Menurut kementerian itu lagi, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM, manakala 1,146 program pengajian disediakan untuk lepasan STPM dan setaraf oleh UA, politeknik, kolej komuniti serta MARA BPT di seluruh negara.- HARAKAHDAILY 23/1/2026

- Advertisement -