Pengambilan tanah persendirian, langkah terakhir

Nushi (kanan) pada sesi perbincangan dengan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) serta beberapa agensi terbabit baru-baru ini.
- Advertisement -

HULU LANGAT: Prinsip Akta Pengambilan Tanah 1960 menetapkan bahawa pengambilan tanah persendirian seharusnya menjadi langkah terakhir setelah semua pilihan munasabah dinilai dengan teliti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz menegaskan perkara itu susulan kebimbangan penduduk berhubung cadangan pembinaan Jalan Pintas Sungai Lalang dan Tapak Perkuburan Islam Raudatus Sakinah 4 melibatkan pengambilan tanah milik mereka.

- Advertisement -

Menurut beliau, satu sesi perbincangan telah diadakan bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) serta beberapa agensi bagi mendapatkan penjelasan tuntas berhubung projek berkenaan.

“Dalam pertemuan tersebut, saya telah membangkitkan persoalan berhubung kewujudan jajaran alternatif yang menurut penduduk tidak melibatkan tanah persendirian, atau jika terlibat pun dalam kadar yang sangat minimum.

“Penjelasan yang diberikan oleh pihak JWP ialah penentuan jajaran jalan telah dibuat oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) pada tahun 2016. Maklumat ini saya terima sebagai rekod rasmi hasil perbincangan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Walau bagaimanapun, Nushi mengingatkan semua pihak bahawa tanah yang dicadangkan untuk pengambilan tersebut melibatkan Tanah Rizab Melayu berstatus hak milik kekal.

Beliau menegaskan, status tanah sedemikian tertakluk kepada prosedur perundangan yang lebih ketat dan menuntut tahap ketelusan yang tinggi dalam pelaksanaannya.

Justeru, beliau menggariskan beberapa persoalan kritikal yang wajar dijelaskan kepada penduduk termasuklah sama ada semua jajaran alternatif telah dinilai sepenuhnya sebelum jajaran sedia ada dimuktamadkan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada penduduk yang terlibat pernah dirujuk sepanjang proses tersebut berjalan, serta menuntut penjelasan mengenai asas teknikal yang menyebabkan jajaran melalui tanah persendirian akhirnya dipilih.

“Usaha ini bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak. Ia adalah ikhtiar untuk memastikan proses pembangunan berjalan secara telus, berperikemanusiaan dan tidak menjejaskan kepercayaan rakyat,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Nushi turut menyentuh mengenai sesi penerangan one-stop centre bersama semua agensi yang dijadualkan berlangsung esok.

Walaupun berharap sesi itu dapat memberi penjelasan menyeluruh bagi mengelakkan kekeliruan dan budaya menuding jari, beliau melahirkan rasa terkilan terhadap halangan yang dikenakan kepadanya.

“Sebagai wakil rakyat Semenyih, saya terkilan tidak dibenarkan menghantar wakil untuk memantau perjalanan mesyuarat esok, tetapi saya akur.

“Saya merakamkan penghargaan kepada penjawat awam yang hadir dalam pertemuan sebelum ini atas sikap profesional mereka. Saya memahami mereka melaksanakan amanah berdasarkan dasar yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berazam akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara penduduk dan pihak berkuasa demi memastikan pembangunan di Semenyih dilaksanakan dengan adab, keadilan dan ihsan. – HARAKAHDAILY 23/1/2026

- Advertisement -