
MARANG: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak menerima cadangan Umno untuk membentuk Kolaborasi Agung yang menghimpunkan parti-parti politik Melayu dan Islam di negara ini.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pendirian PAS berhubung perkara itu telah dijelaskan sebelum ini menerusi satu artikel Minda Presiden.
“Saya sudah tulis mengenai perkara itu. Kita tidak terima cadangan berkenaan kerana melibatkan pelbagai perkara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kuliah Dhuha, di Masjid Rusila, hari ini.
Menurut pandangan Tuan Guru dalam tulisannya sebelum ini, PAS menolak cadangan Kolaborasi Agung berkenaan kerana kerjasama tersebut tidak selari dengan perjuangan PAS.
PAS tegasnya, meletakkan Islam sebagai al-din yang wajib berkuasa dan memerintah, bukan sekadar dijadikan simbol atau slogan politik.
Beliau berkata, Perlembagaan PAS dengan jelas menetapkan hukum Islam sebagai yang tertinggi dan mengharamkan penerimaan sebarang ideologi selain Islam.
Katanya, berbeza dengan pendekatan parti-parti lain yang sekadar mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi tanpa memberi kuasa sebenar kepada syariat.
“PAS mempunyai pengalaman lampau yang membuktikan cabaran menegakkan Islam dalam politik. Parti ini pernah membawa usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
“(Iaitu) bagi memperkenalkan hukuman sebatan yang bersifat mendidik cara Islam, bukan menyeksa menurut cara yang ada sekarang sebagai usaha memperkenalkan hukuman Islam yang adil dan berperikemanusiaan.
“Malangnya setelah diluluskan, pengundiannya ditangguhkan pula kerana tidak mencukupi undian apabila ditentang oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan golongan Melayu yang berwala’ bersama mereka.
“Mereka takut akan berlaku dan terbukanya perbandingan yang adil antara Islam dengan bukan Islam yang dibimbangkan mempengaruhi masyarakat bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata, dalam Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap ajaran sesat seperti Qadiani (Ahmadiyyah) yang dibawa masuk oleh penjajah dahulu.
Menurutnya, pengikut ajaran itu mengisytiharkan diri sebagai bukan Islam, di samping banyak lagi hukuman syariat yang terhalang pelaksanaannya dan keadaan ini sekali gus menunjukkan kedudukan Islam rendah dan tidak berkuasa.
“Beginilah cara kemerdekaan yang dihadiahkan oleh penjajah kepada negara umat Islam bagi menghalang Islam kembali berdaulat semula. Kebanyakan negara Islam menerima ‘hadiah’ kemerdekaan yang membatalkan kuasa Islam dan menghalang kedaulatannya.
“Keseluruhan negara Islam sekadar meletakkan Islam sebagai agama negara mengikut tafsiran bahasa penjajah yang memisahkan Islam daripada politik pemerintahan negara.
“Bahkan, ada negara Islam yang tidak menyebut kedudukan Islam secara khusus seperti Turkiye, Indonesia, Syria, dan beberapa negara lain,” katanya.
Justeru katanya yang juga Ahli Parlimen Marang, PAS kekal dengan pendirian perjuangan Islam yang konsisten walaupun berdepan tentangan dan tekanan politik.
“PAS terus berjuang supaya Islam yang sempurna ditegakkan setinggi-tingginya, bukan memperalatkan atau menunggang agama sepertimana yang dituduh oleh kalangan mereka yang jahil akan agama.
“(Juga kalangan) tidak memahami Islam ataupun kalangan agamawan yang berpihak kepada musuh yang sengaja mentafsirkan dengan makna yang salah dan menyesatkan.
“Malah, PAS berjuang sehingga ada kalangan ahlinya yang menjadi korban dan gugur syahid oleh pembunuhan, dizalimi sehingga dihumban ke dalam penjara.
“(Selain) ditahan pangkatnya walaupun paling layak dalam jawatan kerajaan, dibuang kerja, dinafikan bantuan, dan pelbagai lagi tindakan yang zalim.
“Semua ini disebabkan perjuangannya menegakkan Islam, bukan menunggang Islam yang mudah melompat dan melarikan diri,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2026











