
KUALA LUMPUR: Keputusan Jemaah Menteri menarik balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) disifatkan sebagai satu kemenangan besar rakyat hasil desakan berterusan pelbagai pihak.
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, langkah kerajaan itu membuktikan bahawa penyatuan suara rakyat mampu memaksa pemerintah untuk menilai semula keputusan yang dibuat.
Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia yang teguh bersuara mempertahankan hak sehingga memaksa kerajaan ‘berfikir semula’ mengenai akta kontroversi tersebut.
“Ini bukti bagaimana penyatuan dapat menewaskan satu rejim. Pembangkang perlu belajar bahawa tanpa bantuan persatuan penduduk, parti kecil, badan bukan kerajaan (NGO), profesional dan rakyat jelata, perkara ini tidak mungkin berlaku.
“Mobilisasi sidang meja bulat, forum, pencerahan media, klip video tular, kenyataan media dan demonstrasi aman adalah senjata rakyat terhadap tindakan unilateral mana-mana kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan Rafique itu menyusul selepas Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamad Fadzil hari ini mengesahkan Jemaah Menteri bersetuju menarik balik RUU URA bagi tujuan penambahbaikan.
Menurut jurucakap kerajaan itu, RUU URA tersebut akan melalui beberapa pindaan yang diperhalusi sebelum dibincangkan dan dibentangkan semula dalam bentuk baharu di Parlimen.
Mengulas lanjut, Rafique berkata momentum kebangkitan rakyat ini persis gelombang yang berlaku pada tahun 2018 apabila Barisan Nasional tumbang.
Beliau turut mempersoalkan sama ada gelombang kesedaran rakyat ini mampu diterjemahkan dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
“Ujian sebenar menanti rakyat. Terima kasih kerajaan kerana mendengar, tetapi tahniah kepada rakyat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/1/2026











