Kuil haram: Isu pelanggaran undang-undang

Bukan perkauman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan pendirian yang jelas, konsisten dan tidak berbelah bahagi berhubung isu pembinaan kuil haram yang didirikan secara tidak sah di atas tanah milik pihak lain.

Menurut beliau, isu berkenaan sama sekali bukan isu kebencian agama atau perkauman, sebaliknya melibatkan pelanggaran undang-undang serta kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa.

- Advertisement -

“Jika keadaan ini terus dibiarkan berlarutan, ia bukan sahaja mencabar kedaulatan undang-undang, malah merosakkan prinsip keadilan dan melemahkan kewibawaan pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa setiap binaan yang didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa dan tanpa kebenaran pemilik tanah adalah tidak sah di sisi undang-undang, tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang.

“Undang-undang tidak boleh dikuatkuasakan secara terpilih, apatah lagi apabila melibatkan rumah ibadat, kerana keadilan yang bersyarat hanya akan melahirkan ketidakpercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan,” tegasnya.

Sebagai perbandingan, Mohamed Sukri menjelaskan bahawa pembinaan masjid dan surau di negara ini tertakluk kepada peraturan yang ketat, termasuk pemilikan tanah yang sah, kutipan dana melalui wakaf dan sumbangan yang telus serta pemantauan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

“Tidak pernah dibenarkan masjid atau surau didirikan di atas tanah milik pihak lain, walaupun atas alasan keperluan atau sentimen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa atas prinsip keadilan dan kesaksamaan, pendekatan yang sama wajar dikenakan terhadap pembinaan rumah ibadat agama lain.

Beliau mencadangkan supaya satu mekanisme pemantauan dan audit oleh agensi khusus diwujudkan bagi memastikan setiap rumah ibadat dibangunkan mengikut lunas undang-undang, memiliki status tanah yang jelas serta melalui proses kelulusan yang sah.

“Cadangan ini bukan untuk menyekat kebebasan beragama, tetapi untuk memelihara keadilan, ketelusan dan keharmonian jangka panjang,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Mohamed Sukri menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman bagi mengaburi isu sebenar.

Beliau menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil dan bijaksana dalam mengurus perbezaan, namun kebijaksanaan tidak bermaksud berkompromi dengan pelanggaran undang-undang.

“Toleransi tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan kesalahan berterusan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya bertindak secara tegas, telus dan berprinsip, sepenuhnya berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada serta berani membentuk satu kerangka penguatkuasaan yang adil dan konsisten untuk semua pihak.

“Jika pelanggaran undang-undang terus ditoleransi atas nama keharmonian palsu, maka yang akan diwariskan kepada generasi muda ialah budaya mencabar peraturan, menguji kewibawaan kerajaan dan meruntuhkan prinsip keadilan yang sepatutnya menjadi asas kepada pentadbiran sebuah negara yang bertamadun,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2026

- Advertisement -