Isu Rex Tan: Semudah itu diminta ‘move on’?

Mohd Hafez Sabri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri menyifatkan kenyataan meminta rakyat supaya ‘move on’ berhubung isu membabitkan bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan sebagai ‘sesuatu yang mengecewakan dan gagal menangani akar masalah sebenar’.

- Advertisement -

Beliau berkata, persoalan yang dibangkitkan Rex Tan baru-baru ini sekadar membuka mata masyarakat terhadap apa yang disifatkannya sebagai ‘doktrinisasi ultra kiasu digerakkan DAP yang sudah lama menjalar dalam minda sebahagian masyarakat Cina’.

“Inilah sebab mengapa PAS konsisten menolak DAP,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Hafez menegaskan isu berkenaan tidak wajar dilihat sebagai pertentangan antara kaum, sebaliknya melibatkan pemikiran ultra-kiasu yang bersifat cauvinis, tidak bersyukur serta mencabar keharmonian dan asas perpaduan negara.

Beliau turut melahirkan rasa dukacita apabila bahaya ideologi tersebut dilihat seolah-olah belum disedari oleh Menteri Dalam Negeri, apabila rakyat Malaysia hanya diminta supaya ‘move on’.

“Tiada kenyataan tegas ditujukan kepada kelompok yang membawa pemikiran berbahaya ini. Tiada penerangan berfakta dan penegasan jelas untuk membendung ideologi yang mencabar prinsip 3R yang sering dilaungkan oleh kerajaan Madani,” katanya.

Sebaliknya, menurut beliau, rakyat yang cintakan negara pula diarahkan untuk melupakan isu tersebut, sedangkan ancaman terhadap keharmonian dan maruah negara masih berlarutan.

Beliau menjelaskan bahawa tiada siapa menafikan keperluan mengingatkan orang ramai agar tidak melampaui batas, khususnya melibatkan tekanan terhadap keluarga Rex Tan, kerana yang diperangi ialah ideologi, bukan individu.

Namun begitu, katanya, penegasan yang sama sepatutnya dihalakan kepada kelompok yang mengangkat dan menyuburkan ideologi berbahaya tersebut, lebih-lebih lagi apabila ia jelas menyentuh serta melanggar prinsip 3R.

“Tetapi malangnya, itu tidak berlaku,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan pendirian Menteri Dalam Negeri dalam menangani isu berkenaan.

“Tidakkah timbul rasa bimbang dan marah apabila maruah negara diperkotak-katik secara terbuka?” soalnya.

Menurut beliau, menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan merupakan satu perkara, namun mengeluarkan kenyataan rasmi yang tegas bagi mempertahankan prinsip dan maruah negara adalah satu perkara yang lain.

“Justeru, amat mengecewakan apabila kenyataan yang dikeluarkan hanya sekadar itu,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa jika keadaan ini dibiarkan, tidak mustahil kelompok yang membawa ideologi berbahaya tersebut akan menjadi semakin berani dan semakin ‘naik tocang’ pada masa akan datang.

Dalam kenyataan sama, Ustaz Mohd Hafez menasihatkan menteri-menteri Melayu supaya tidak menjadi ‘bidak catur’ yang menurutnya digerakkan oleh DAP.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan mengingatkan orang ramai agar tidak mengugut ahli keluarga Rex Tan kerana tindakan itu melampaui batas.

Beliau menegaskan proses undang-undang sedang berjalan dan ugutan hanya akan mengeruhkan keadaan serta tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Dalam masa sama, Saifuddin yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keselamatan awam terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 20/1/2026

- Advertisement -