JKR cadang laluan lencong sementara FT185 Lojing

Lokasi kejadian jalan raya runtuh di Seksyen 107.6, Laluan Persekutuan FT185, Lojing, Gua Musang, Kelantan.
- Advertisement -

GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil tindakan segera susulan kejadian jalan raya runtuh yang berlaku pada 3 Disember 2025, kira-kira jam 12 tengah malam di Seksyen 107.6, Laluan Persekutuan FT185, kawasan Lojing, di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, sejurus kejadian, JKR telah menjalankan pemeriksaan tapak serta penilaian keselamatan sebelum menutup sepenuhnya laluan berkenaan kepada semua kenderaan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya.

Menurut beliau, laporan awal kejadian telah dikemukakan kepada Ibu Pejabat JKR sebelum kajian teknikal terperinci dilaksanakan bagi menentukan kaedah pembaikian yang paling sesuai, selamat dan mampan untuk jangka panjang.

“Hasil kajian mendapati pembaikian cerun perlu dilaksanakan menggunakan kaedah Terramesh Wall System.

Sehubungan itu, Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Kerja Raya dengan anggaran kos sebanyak RM35 juta,” katanya mengulas mengenai lawatan kerja ke lokasi terjejas.

Izani juga menyatakan, selain pembaikan kekal, JKR turut mencadangkan pembinaan laluan lencongan sementara yang lebih selamat dengan anggaran kos melebihi RM2 juta bagi memastikan kelangsungan pergerakan pengguna jalan raya sementara menunggu kelulusan peruntukan dan pelaksanaan kerja pembaikian.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Izani memaklumkan lokasi lawatan lain turut melibatkan kejadian lubang benam di Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 78.600, Jalan Lojing–Gua Musang, dalam Jajahan Gua Musang.

Beliau menjelaskan, penilaian teknikal JKR mendapati kawasan tersebut berada pada tahap risiko tinggi dan memerlukan penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh.

“Pihak konsesi mencadangkan pembinaan sebuah jambatan sebagai penyelesaian paling sesuai bagi mengatasi masalah berulang di kawasan itu.

“JKR akan menjalankan kajian struktur terperinci sebelum mengangkat permohonan untuk pertimbangan dan kelulusan Menteri Kerja Raya,” ujarnya.

Beliau berkata, sebelum ini pihak konsesi penyelenggaraan, Roadcare telah melaksanakan satu kali pembaikian kekal serta dua kali kerja penyelenggaraan, namun kejadian lubang benam dan runtuhan masih terus berlaku.

Tambahnya, keadaan tersebut dikenal pasti berpunca daripada pergerakan air bawah tanah yang aktif, sekali gus menjadikan kaedah pembaikian konvensional tidak lagi sesuai untuk jangka masa panjang.

“Oleh itu, pembinaan jambatan dikenal pasti sebagai penyelesaian paling selamat dan mampan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya lagi.

Dr Izani turut merakamkan penghargaan kepada JKR atas tindakan pantas serta komitmen berterusan dalam memohon peruntukan pembaikian kekal dan laluan lencongan demi keselamatan rakyat.

“Kerajaan Negeri Kelantan akan terus bekerjasama rapat dengan JKR serta kementerian berkaitan bagi memastikan kelulusan peruntukan dapat dipertimbangkan segera demi keselamatan awam dan kelangsungan sistem perhubungan di kawasan Lojing dan Gua Musang,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2026

- Advertisement -