
KUALA LUMPUR: “Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu lebih baik jangan duduk di Malaysia,” demikian titah teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar merujuk polemik pihak tertentu menolak pendidikan berteras bahasa Melayu.
Baginda bertitah sistem pendidikan merupakan salah satu mekanisme bagi pembinaan negara bangsa, pembangunan jati diri generasi masa depan yang selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memartabatkan Bahasa Melayu.
Malah baginda bertitah meminta kerajaan memperkasakan sistem pendidikan hari ini selain menolak sebarang cadangan yang dianggap tidak selari dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh identiti nasional melalui satu bahasa tunggal.
“Sistem pendidikan negara juga perlu terus diperkasakan sebagai pembinaan bangsa jati diri dan masa depan negara, jika hendak buat sistem pendidikan yang baru, ianya mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan negara.
“Selain Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ianya adalah bahasa kebangsaaan, oleh itu sebarang usaha untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti terima bahasa dan sejarah Malaysia,” katanya.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Malaysia Kelima Belas di Parlimen di sini hari ini.
Isu desakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kembali menjadi perdebatan susulan kenyataan beberapa pemimpin dalam kerajaan terutamanya DAP mendesak agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janjinya.
Desakan tersebut memuncak khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke 17 yang berlangsung 29 November lalu yang menyaksikan sokongan pengundi di negeri bawah bayu itu terhadap PH semakin merosot.
Ia terbukti apabila Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming menyatakan akan bertemu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC yang mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
Walaubagaimanapun status UEC sehingga hari ini tidak diiktiraf dan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak menegaskan sebarang pengiktirafan tidak menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan dan indentiti nasional. – HARAKAHDAILY 19/1/2026











