ART Malaysia-AS: Lima Ahli Parlimen saman PM Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengemukakan saman kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang ditandatangani Oktober lalu.

- Advertisement -

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Awang Hashim (Pendang), Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Dato’ Abdul Khalib Abdullah (Rompin).

Saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini telah diwakili seorang peguam yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dan peguam, Karthigesan Shanmugam.

Rosol dalam sidang media di Parlimen hari ini berkata, PN mempertikaikan perjanjian itu dibuat atas kapasiti Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri.

“Adakah beliau sudah membawa perkara ini kepada Majlis Raja-raja? Adakah perkara ini sudah dimaklumkan kepada Yang Dipertuan Agong? Apakah perkara ini dibawa ke Parlimen dan adakah ianya dibawa ke Kabinet?

“Surat yang kita hantar juga tidak dijawab, jadi apa yang kami buat ialah bawa perkara ini ke Mahkamah untuk tentukan sama ada apa yang dibuat oleh Perdana Menteri sah atau tidak, itu sahaja persoalan kita mahu.

“Sepatutnya mesyuarat diadakan sebelum perjanjian ini ditandatangani, tetapi dibuat dulu, kemudian baru adakan mesyuarat, jadi ini terbalik, hujan naik ke langit, ini yang berlaku dimaklumkan kepada kita,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, kedua-dua belah pihak sebelum ini sudah menyatakan perasaan tidak setuju terhadap apa yang berlaku dalam perjanjian Malaysia dan Amerika Syarikat.

Malah PN akan memperjuangkan isu tersebut kata beliau, menjelang persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirainya hari ini, 19 Januari 2026, selepas kandungan perjanjian itu juga gagal dijawab dengan baik oleh Perdana Menteri.

“Jadi banyak perkara yang klau kita teliti dan cuba tanya dalam parlimen tidak dijawab dengan baik oleh MITI, mereka tidak mampu menjelaskan dengan tuntas kenapa butiran-butiran yang merugikan negara ada dalam perjanjian.

“Ini kita masih menunggu jawapan bersedia berjuang dalam sidang kali ini untuk kita bertanya kepada Perdana Menteri sendiri dan juga Menteri Industri, Perdagangan dan Pelaburan (MITI) yang baru dilantik, Dato’ Johari Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa.

“Saya fikir dia pun pening kenapa nak menyuci semula apa yang dibuat oleh menteri lalu, jadi jangan ingat apa yang berlaku tahun lepas kita buka tahun ini jangan, ini tahun baru lagi kami gasak habis-habisan,” katanya.

Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat menandatangani ART 2025 serta perjanjian mineral kritikal bagi memperkukuh kerjasama ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan di Kuala Lumpur.

ART Malaysia-AS menyaksikan antaranya ialah kadar tarif purata diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus, serta akses pasaran yang lebih meluas bagi eksport utama negara. – HARAKAHDAILY 19/1/2026

- Advertisement -