ATM: Agong kecewa rasuah, rakyat harus jadi mata-mata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar meminta kerajaan agar memberi tumpuan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

- Advertisement -

Malah baginda bertitah, perkara tersebut sewajarnya menjadi teras utama dalam perancangan pembangunan lima tahun negara iaitu Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijangka bermula tahun 2026 sehingga 2030.

Menurutnya, kerajaan juga diminta supaya membantera amalan rasuah yang menjejaskan rancangan pembangunan kerana tindakan itu merugikan ekonomi, meningkatkan kos projek, merosakkan kepercayaan awam dan sebagainya.

“Suka saya ingatkan di sini segala perancangan dibuat tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa. Saya pernah sebut dahulu saya datang Kuala Lumpur untuk memburu rasuah dan nampaknya saya telah berjaya.

“Saya amat kecewa apabila berlaku kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), saya yakin ramai lagi di luar sana di jabatan kerajaan termasuk juga yang berada di dewan ini akan diburu sampai jumpa,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Malaysia Kelima Belas di Parlimen, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut menitahkan agar rakyat turut terlibat sepenuhnya dalam hasrat itu dengan menjadi mata-mata yang akan melaporkan kesalahan dan juga penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin dan agensi kerajaan.

Baginda juga meminta pihak berkuasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, cepat dan sempurna tanpa mengira pangkat serta kedudukan dalam kerajaan hari ini.

Selain itu titahnya lagi, kerajaan juga perlu melantik hakim yang mempunyai pengalaman luas serta menyediakan laluan khas di Mahkamah supaya perbicaraan kes berkaitan penyelewengan dan rasuah dapat diselesaikan segera.

“Rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah bukan sahaja penerima yang patut disiasat tetapi pemberi rasuah dan agen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan

“Kepada Yang Berhormat dan penjawat awam ingatlah jawatan disandang adalah amanah rakyat, jika menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat awak adalah pengkhianat negara,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 18/1/2026

- Advertisement -