Kolaborasi Agung, Rumah Bangsa: Kurang meyakinkan

Kedengaran hebat dari segi istilah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan gagasan Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa yang diketengahkan Umno sebagai kedengaran hebat dari segi istilah, namun masih belum meyakinkan khususnya dari sudut hala tuju dan matlamat politik sebenar.
 
Beliau berkata, pada pandangan sepintas lalu, gagasan berkenaan seolah-olah menggambarkan satu bentuk gabungan besar yang belum pernah wujud dalam landskap politik negara, namun kenyataan pemimpin Umno sendiri menunjukkan percanggahan mengenai tujuan sebenar kolaborasi itu.
 
Menurutnya, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Ghani menyatakan Kolaborasi Agung perlu direalisasikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), manakala Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said pula menegaskan bahawa ia bukan kerjasama politik dan tidak bertujuan menggugat Kerajaan Madani.
 
“Persoalannya, jika ia benar-benar bukan kerjasama politik dan tidak berkait dengan gerak kerja politik, maka mengapa ia perlu direalisasikan sebelum PRU16? Dengan lebih jelas, mengapa ia perlu dikaitkan secara langsung dengan pilihan raya?” ujarnya dalam satu media sosial miliknya.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sekiranya gagasan itu sekadar berbentuk ‘kolaborasi’, ia seharusnya dilaksanakan dalam bentuk kerjasama sosial atau kemasyarakatan tanpa sebarang matlamat politik, bukannya dikaitkan dengan konteks pilihan raya.
 
Mengulas lanjut, beliau merujuk ucapan dasar Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima penyertaan semula ahli-ahli Umno termasuk mereka yang pernah meninggalkan parti itu.
 
Katanya, langkah itu memberi gambaran bahawa Rumah Bangsa pada asasnya hanyalah proses dalaman Umno untuk mengukuhkan dan menyatukan semula parti, manakala Kolaborasi Agung pula kelihatan sebagai idea berasingan yang mungkin bertujuan menghimpunkan parti-parti politik Melayu di bawah jenama Musyawarah Nasional.
 
“Namun persoalan yang masih berbaki ialah apakah hala tuju politik sebenar gagasan ini,” soalnya.
 
Beliau turut menyuarakan kegusaran terhadap ketegasan gagasan Kolaborasi Agung susulan insiden penarikan balik sebahagian ucapan Presiden Umno berkaitan isu ‘Team A dan Team B dalam DAP’ selepas disanggah oleh Setiausaha Agung DAP.
 
Menurut Ahmad Fadhli, jika ucapan penggulungan presiden parti yang dianggap sebagai amanat penting kepada seluruh ahli boleh disanggah dan akhirnya ditarik balik, maka timbul persoalan sama ada Kolaborasi Agung mampu dipertahankan daripada penolakan dan sanggahan serupa pada masa hadapan.
 
“Jika penegasan seorang Timbalan Presiden bahawa Umno kononnya tidak pernah bekerjasama dengan DAP pun boleh disanggah secara terbuka, maka ke arah mana ‘kejantanan’ Rumah Bangsa mahu dijulang? Mujur kenyataan itu belum lagi ditarik balik oleh Timbalan Presiden Umno,” sindirnya.
 
Beliau menegaskan, secara keseluruhannya Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa masih berupa idea yang belum jelas bentuk serta arah tujunya.
 
“Namanya hebat, tetapi isinya belum meyakinkan. Di pihak kita, terus bekerja, dan kita jadikan Kerajaan Madani paling lama bertahan pun hanyalah sepenggal, insya-Allaah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2026

- Advertisement -
- Advertisement -