
KUALA TERENGGANU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu menafikan dakwaan Umno negeri yang mendakwa parti itu didera dan disisihkan sewaktu Muafakat Nasional 1.0, sebaliknya semua rakyat, tanpa mengira parti, menerima bantuan kerajaan negeri secara adil dan telus.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, setiap program bantuan seperti pertanian, penternakan, perikanan serta agihan geran tanah direkod dengan rapi dan penerima dikenalpasti satu persatu.
“Tak kisahlah Umno Terengganu nak kecewa berapa ribu kali pun dengan PAS. Apa yang penting ialah kita laksanakan amanah untuk jaga semua rakyat Terengganu tanpa mengira latar belakang parti.
“Jangan mudah-mudah kata kerajaan negeri hanya bagi bantuan kepada orang PAS. Setiap program agihan pelbagai bentuk bantuan seperti bantuan pertanian, penternakan, perikanan serta pelbagai lagi bantuan lain termasuk agihan geran tanah, team media ambe akan ambil gambar seorang demi seorang penerima secara ‘close up’.
“Semuanya direkodkan secara rapi. Kita kenal latar belakang penerima sebab ambe akan study balik dengan teliti setiap program yang kita buat. Bukan buat program sekadar Touch ‘n Go,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri juga menegaskan, persepsi bahawa agihan bantuan berpihak kepada satu pihak tertentu adalah psikologi semula jadi manusia.
“Saya pun tak berhasrat nak publish gambar-gambar di bawah satu tajuk khusus penerima bantuan dari kalangan BN atau PH. Boleh saja ‘scroll balik page’ saya.
“Di dalamnya banyak gambar penerima bantuan kalau berminat nak kenal. Mereka semua adalah rakyat kita yang berhak menerima bantuan.
“Tak perlu diungkit dan diperbesarkan. Perangai agih bantuan berdasarkan warna politik sudah lama kita kuburkan.
“Cuma begitulah psikologi manusia, bila awak pernah buat begitu kepada orang maka awak ingat orang lain pun akan buat begitu kepada awak. Keluarlah dari zaman kelam ke dunia yang lebih cerah dan terbuka,” katanya.
Tambah Azman, dalam era Muafakat Nasional (MN), beliau diamanahkan menjaga Portfolio MPKK (sekarang JPKK) dan telah menjemput wakil Umno untuk bersama dalam jawatankuasa, namun mereka menolak.
“Kita undang wakil Umno untuk sama-sama berada dalam Jawatankuasa MPKK tapi mereka tolak. Wakil rakyat Umno/BN Terengganu juga menerima peruntukan,” katanya.
Azman juga menyatakan, meskipun PAS dan Umno bertembung pada PRU14 yang menyaksikan PAS memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, parti itu tetap menghargai Umno sebagai rakan dalam Muafakat Nasional, tetapi tidak sehingga lantik menjadi Exco.
“Mudah difahami, dalam PRU 14, PAS menang dan Umno kalah. Apabila berlaku MN selepas itu, kita raikan mereka sebagai rakan dalam MN walaupun tak sampai pada tahap lantik jadi Exco. Sama saja seperti di Pahang, tak ada juga wakil PAS yang dilantik sebagai Exco,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut mempelawa parti itu untuk menggunakan kemudahan awam di kawasannya.
“Saya persilakan kawan-kawan Umno untuk menggunakan kemudahan awam yang ada di Jabi sama ada balairaya, dewan orang ramai, dewan serbaguna dan sebagainya walaupun untuk program politik parti mereka. Sesuatu yang kita pernah dinafikan dulu. Tak ada sesiapa yang dianiayai.
“Hairan juga kalau ada yang berilusi seolah-olah mereka sedang dizalimi. Cuba bagitahu, kezaliman apa yang sedang PAS buat?” soalnya. – HARAKAHDAILY 20/1/2026











