
KOTA BHARU: Kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan melepaskan sebanyak 1.2 juta benih ikan dan udang sepanjang tahun 2025 membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri memperkukuh sektor pertanian sebagai teras strategik pembangunan selaras dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sektor pertanian bukan sahaja menjadi pemacu ekonomi rakyat, malah berperanan penting dalam menjamin keterjaminan makanan ummah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Taujihat 2026 bertemakan ‘Keterjaminan Makanan, Tanggungjawab Ummah’, di sini.
Menurutnya, sektor pertanian menyumbang lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan dan menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi rakyat negeri ini.
“Kami bertekad memperkukuh pembangunan sektor ini secara menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat serta menjamin keterjaminan makanan negeri,” katanya.
Mengulas pencapaian sektor perikanan, beliau menjelaskan pelepasan 1.2 juta benih ikan dan udang pada 2025 merupakan langkah strategik bagi meningkatkan produktiviti serta kelangsungan sumber perikanan negeri.
“Bagi tahun 2026, kerajaan negeri menyasarkan pendaratan ikan marin sebanyak 61,000 tan metrik di seluruh Kelantan,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam perkembangan berkaitan, industri nanas turut mencatat peningkatan ketara apabila keluasan tanaman meningkat sebanyak 55 peratus, manakala keluasan bantuan melonjak 82 peratus daripada 147.94 hektar pada 2024 kepada 228.85 hektar pada 2025.
Tuan Mohd Saripudin turut memaklumkan, kerajaan negeri giat memperkukuh rantaian nilai hasil pertanian melalui pembangunan CPPC Lojing (Collection, Processing and Packaging Centre) bagi meningkatkan keupayaan pengumpulan, pemprosesan dan pengepakan hasil pertanian.
“Dalam sektor penternakan pula, fokus diberikan kepada pembangunan projek kambing tenusu serta pengoperasian Goat Milk Collection Centre di Ketereh dan Pasir Puteh, selain projek ayam pedaging dan penelur berskala besar,” jelasnya.
Beliau menyatakan, fokus utama kerajaan negeri bagi 2026 merangkumi pemerkasaan belia agropreneur, pendigitalan pertanian, penerapan teknologi pintar serta pembangunan modal insan bagi memastikan kelestarian sektor pertanian.
“Pelaksanaan strategi tersebut, katanya, diperkukuh melalui kerjasama 88 rakan strategik melibatkan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
“Insya-Allah dengan iltizam bersama, Kelantan terus dipacu ke arah menjadi Jelapang Makanan Negara atau Baloh Negara, bukan sekadar demi ekonomi, tetapi sebagai amanah dan ibadah untuk kesejahteraan ummah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2026











