
CAPE CANAVERAL, FLORIDA: Roket mega Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) telah tiba di Tapak Pelancaran 39B, Pusat Angkasa Kennedy, Florida pada hari ini sebagai persiapan akhir menjelang pelancaran misi Artemis II ke bulan.
Roket Space Launch System (SLS) setinggi 98 meter itu dipindahkan secara menegak dari Vehicle Assembly Building dalam perjalanan sejauh kira-kira 6.5 kilometer yang mengambil masa hampir 12 jam.
Pemindahan bermula pada jam 7.04 pagi waktu tempatan dan berakhir pada jam 6.41 petang, menggunakan jentera khas crawler-transporter dengan kelajuan maksimum sekitar 1.3 kilometer sejam.
Menurut kenyataan ASA, roket berkenaan kini akan menjalani beberapa ujian akhir termasuk pemeriksaan sistem, prosedur kira detik dan latihan penuh pengisian bahan api atau dikenali sebagai ‘wet dress rehearsal’.
“Sekiranya semua ujian berjalan lancar, pelancaran Artemis II dijangka seawal 6 Februari 2026, dengan beberapa tetingkap pelancaran alternatif pada penghujung Februari serta bulan Mac dan April,” ujar kenyataan itu.
Misi Artemis II dijadualkan berlangsung selama 10 hari dan melibatkan empat angkasawan iaitu Reid Wiseman, Victor Glover dan Christina Koch dari Amerika Syarikat, serta Jeremy Hansen dari Kanada.
Keempat-empat angkasawan itu turut berada di Pusat Angkasa Kennedy bagi menyaksikan pemindahan roket ke tapak pelancaran.
Berbeza dengan misi pendaratan, Artemis II hanya akan mengelilingi Bulan sebagai persediaan kepada pendaratan manusia di permukaannya melalui misi Artemis III pada masa depan.
NASA memaklumkan, Artemis III akan dilaksanakan ‘tidak lebih awal’ daripada tahun 2027, namun pakar menjangkakan tahun 2028 adalah tarikh paling realistik.
Dalam dua hari pertama misi Artemis II, kru akan berada di orbit Bumi sebelum bergerak lebih jauh ke angkasa lepas sehingga mencapai jarak kira-kira 40,000 batu dari Bumi.
Selepas itu, mereka akan meneruskan perjalanan hampir 400,000 kilometer ke arah Bulan sambil menjalankan pelbagai ujian sains dan operasi teknikal.
Ketika mengelilingi bahagian gelap Bulan, kru akan memperuntukkan kira-kira tiga jam untuk pemerhatian lunar termasuk mengambil imej serta mengkaji struktur geologi bagi membantu perancangan pendaratan di kawasan kutub selatan pada masa hadapan.
Komponen penting kapal angkasa Orion yang digunakan dalam misi ini, iaitu Modul Perkhidmatan Eropah, dibina di Bremen, Jerman sebagai sumbangan Agensi Angkasa Eropah dan dibangunkan oleh Airbus.
Modul tersebut menyediakan sistem pendorongan, bekalan tenaga elektrik melalui panel solar, serta bekalan udara dan air bagi memastikan kelangsungan hidup angkasawan sepanjang misi.
Menurut jurutera Airbus, Sian Cleaver, setiap modul mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk disiapkan dan melibatkan ribuan jam kejuruteraan, dengan keselamatan angkasawan menjadi keutamaan utama.
Walaupun misi Artemis II berdepan kelewatan selama beberapa tahun, NASA menegaskan aspek keselamatan tidak akan dikompromi.
Pengerusi pasukan pengurusan misi Artemis, John Honeycutt berkata, keutamaan utama agensi itu adalah memastikan kesemua angkasawan pulang ke Bumi dengan selamat.
“Kami akan terbang apabila benar-benar bersedia. Keselamatan kru adalah keutamaan nombor satu,” katanya.











