Kes salah guna dadah 2025 turun 7.9 peratus

Zamakhshari Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan kes penyalahgunaan dadah di seluruh negara mencatatkan penurunan sebanyak 7.9 peratus sehingga tahun 2025.

Namun begitu, dari sudut angka keseluruhan, Kelantan berada di kedudukan ketiga tertinggi melibatkan pelbagai kes penyalahgunaan bahan terlarang termasuk bilangan penagih dadah, selepas Selangor dan Kedah.

- Advertisement -

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, sekiranya kaedah pengiraan berdasarkan 100,000 orang penduduk digunakan, Kelantan sebenarnya berada di kedudukan pertama.

“Kita bukan ingin melihat isu ini hanya daripada sudut angka dan menjadikannya sebagai satu kegagalan dengan saling menyalah atau menuduh mana-mana pihak.

“Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita boleh bekerjasama antara pelbagai pihak sama ada agensi negeri, agensi persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penglibatan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu slot siaran langsung Sisi Pandang yang berlangsung di Institut Pemikiran Tok Guru Nik Aziz, Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim.

Menurut Zamakhshari, berdasarkan maklumat PDRM mengikut kategori umur, kes penyalahgunaan dadah di Kelantan melibatkan golongan 18 tahun ke bawah mencatatkan penurunan sebanyak 33 peratus, iaitu daripada 402 orang pada tahun 2024 kepada 271 orang pada tahun 2025.

“Kategori umur 19 hingga 40 tahun pula hanya mencatatkan pengurangan sekitar enam peratus, namun perkembangan itu tetap memberi petanda positif terhadap keberkesanan usaha membanteras penyalahgunaan dadah,” jelasnya.

Zamakhshari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan berkata, antara cabaran utama membanteras musuh nombor satu negara itu ialah kedudukan Kelantan yang berhampiran dengan kawasan Segi Tiga Emas melibatkan Thailand, Laos dan Kemboja yang terkenal sebagai lubuk dadah antarabangsa.

“Ada pihak sama ada dalam kalangan warga internet mahupun ahli politik seolah-olah terlupa bahawa punca kuasa agensi dan institusi penguatkuasaan seperti PDRM dan AADK berada di bawah kerajaan pusat,” ujarnya.

“Jika mahu menyalahkan pihak tertentu, kita boleh sahaja menyalahkan kerajaan persekutuan, namun pendekatan itu tidak digunakan.

“Sebaliknya, kerajaan negeri memilih untuk memberikan kerjasama penuh dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2026

- Advertisement -