
PENDAHULUAN
Firman Allah SWT
سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِیۤ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَیۡلࣰا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِی بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِیَهُۥ مِنۡ ءَایَـٰتِنَاۤۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡبَصِیرُ
(Surah al-Isra’: 1)
Bermaksud, “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Di dalam ayat ini, Rasulullah SAW disebut sebagai ‘hamba’ (ʿabd) memberi isyarat penghambaan sebenar sebagai asas pendidikan Ilahi.
Pendidikan ini menekankan penyerahan sepenuhnya kepada ketentuan dan peraturan Allah SWT, keyakinan kepada wahyu-Nya dan menerima arahan Allah walaupun di luar akal manusia.
Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai muslimah, menuntut mereka meletakkan ‘ubudiyyah’ dalam rumah tangga, pendidikan anak, dakwah dan peranan sosial.
Setiap ujian dan cabaran yang dihadapi dijadikan sebagai tarbiah dan membina jiwa yang teguh sepanjang hayat.
Firman Allah SWT
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّبِیُّ قُل لِّأَزۡوَ ٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱلۡحَیَوٰةَ ٱلدُّنۡیَا وَزِینَتَهَا فَتَعَالَیۡنَ أُمَتِّعۡكُن وَأُسَرِّحۡكُنَّ سَرَاحࣰا جَمِیلࣰا
وَإِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلدَّارَ ٱلۡـَٔاخِرَةَ فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلۡمُحۡسِنَـٰتِ مِنكُنَّ أَجۡرًا عَظِیمࣰا
(Surah al-Ahzab: 28–29)
Bermaksud, “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Jika kamu mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Aku akan memuaskanmu dan melepaskanmu dengan baik. Tetapi jika kamu mengingini Allah, Rasul-Nya dan akhirat, maka Allah telah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik dari kamu pahala yang besar.”
Peristiwa Isra’ Mikraj bukan sekadar mukjizat sejarah tetapi perlu dijadikan panduan pembinaan model pendidikan berterusan khususnya kepada kaum muslimah.
Ayat ini menegaskan pilihan Muslimat antara dunia dan akhirat, sebagai asas tarbiah spiritual sepanjang hayat.
- Pendidikan aqidah: Iman kepada ghaib
Firman Allah SWT
ٱلَّذِینَ یُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَیۡبِ
Bermaksud, “…(Orang beriman itu ialah) mereka yang beriman kepada perkara ghaib…”
Abu Bakar as-Siddiq menunjukkan keyakinan sepenuhnya kepada Rasulullah SAW walaupun ramai ragu dengan kebenaran Isra’ sebagai simbol pendidikan aqidah melalui teladan dan iman.
Keyakinan kepada perkara ghaib dan wahyu adalah pendidikan aqidah berterusan buat kaum muslimah, relevan dalam cabaran pemikiran moden dan tekanan sosial hari ini.
- Pendidikan ibadah: Solat sebagai teras
Sabda RasululLah SAW
الصَّلاَةُ مِعْرَاجُ الْمُؤْمِنِيْنَ
(Riwayat an-Bayhaqi)
Bermaksud, “Solat itu adalah mi‘raj orang beriman.”
Firman Allah SWT
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ
(Surah Al-‘Ankabut: 45)
Bermaksud, “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.”
Kata Ulama, Imam al-Ghazali, “Solat tanpa khusyuk hanyalah gerakan jasad, bukan pendidikan jiwa.”
Solat adalah pendidikan berterusan kepada kaum muslimah. Sentiasa meningkatkan kualiti ilmu fiqh solat dengan belajar, menjaga, menghayati dan membimbing generasi.
Muslimat adalah murabbiah solat dalam keluarga dan masyarakat.
- Pendidikan jiwa dan emosi: Ujian sebagai pemurnian
Firman Allah SWT
فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ یُسۡرًا
(Surah al-Insyirah)
Berrmaksud, “Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.”
Hadis sahih
عَنْ صُهَيْبٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ، فَكَانَ خَيْرًا
(Riwayat Muslim)
Bermaksud, “Menakjubkan urusan orang beriman, kerana untuknya kebaikan dalam setiap perkara.”
Keletihan emosi dan pengorbanan memikul tanggungjawab dalam keluarga, kerjaya dan sosial adalah pendidikan jiwa sepanjang hayat yang mengukuhkan kebergantungan kepada Allah SWT.
- Pendidikan kepimpinan dan sosial: Muslimah sebagai pemegang amanah
Rasulullah SAW menjadi imam kepada para nabi di Masjidil Aqsa adalah simbol kepimpinan rohani universal berasaskan ilmu dan ketaatan.
Sabda RasululLah SAW
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بنِ عُمرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُما أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
كُلُّكُمْ رَاعٍ فَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Bermaksud, “Setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinannya. Dan wanita pemimpin dalam rumahtangga suaminya.”
الأم مدرسة إذا أعددتَها
أعددتَ شَعْباً طَيِّبَ الأعرا
Bermaksud, “Ibu adalah madrasah pertama, apabila engkau sediakan mereka, maka lahirlah generasi yang mulia” – Syair Ahmad Syauqi
Kepimpinan bermula dari rumah dengan pembinaan peribadi diri, keluarga, masyarakat, ummah, melalui pendidikan berterusan dan teladan .
- Pendidikan melalui iktibar: Refleksi akhirat
Firman Allah SWT
فَٱعۡتَبِرُوا۟ یَـٰۤأُو۟لِی ٱلۡأَبۡصَـٰر
(Surah al-Hasyr: 2)
Bermaksud, “Maka ambillah pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai akal.”
Rasulullah SAW melihat gambaran syurga dan neraka menjadi satu pendidikan visual dan rohani kepada umatnya termasuk kaum muslimah. Ia mengajar Muslimat memilih ketaatan setiap detik hidup.
- Isra’ Mikraj sebagai Model Pendidikan Kaffah dan Rabbani
Firman Allah SWT
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
(Surah al-Baqarah: 208)
Bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan…”
Pendidikan kaffah (menyeluruh dan lengkap) mencakupi Aqidah, Ibadah, Akhlak, Jiwa & Emosi, Kepimpinan sosial dan politik berpandukan Allah SWT sepanjang hayat Muslimat yang berpegang kepada Allah dan Rasul.
PENUTUP
Muslimah sebagai penuntut ilmu dan pendidik ummah sepanjang hayat.
Isra’ Mikraj mengajar bahawa pendidikan sebenar tidak berhenti di usia muda tetapi berterusan sepanjang hayat.
Muslimah yang memilih Allah, Rasul dan akhirat akan menerima pahala besar dan tarbiah spiritual berterusan.
Sabda RasululLah SAW
اطْلُبُوا العِلمَ مِنَ المَهدِ إِلى اللّحْدِ
Bermaksud, “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”
Muslimah bukan sekadar penuntut ilmu tetapi pengamal dan penyebar ilmu dalam keluarga dan masyarakat.
Pengajaran Isra’ Mikraj adalah manual pendidikan sepanjang hayat, menguatkan iman, ibadah, akhlak, kepimpinan dan kenegaraan.
Dewan Muslimat PAS menerusi Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) menyediakan pelbagai modul pembelajaran sepanjang hayat untuk kaum Muslimah seluruh Malaysia bagi mengaplikasikan ibrah dari peristiwa Isra’ Mikraj ini.
Tulisan
DR WAHIBAH TWAHIR
Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia
Ketua Pengarah APSA
– HARAKAHDAILY 18/1/2026











