Azam tahun baru, murnikan kata-kata dan tindakan kita

- Advertisement -

Tahun baharu menandakan pembukaan sesi persekolahan serta permulaan satu musim baharu dalam kehidupan kita. Setiap musim baharu membawa ruang untuk menetapkan azam yang membina. Antara azam yang paling asas, namun sering dipandang ringan, ialah membiasakan diri dengan kata-kata yang berhemah serta sikap yang menghormati orang lain.

- Advertisement -

Perkara ini mungkin kedengaran seperti peringatan lama yang sering diulang-ulang. Kita juga sedia maklum bahawa masyarakat kita sejak dahulu dikenali dengan budi bahasa dan tutur kata yang sopan. Namun, apabila kita meneliti realiti semasa, jelas bahawa nilai kesopanan dan kesusilaan itu semakin terhakis, khususnya dalam ruang perbualan awam dan digital.

Laporan media pada tahun lepas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia berada dalam kelompok teratas di peringkat dunia dari segi penggunaan kata-kata kesat dalam perbualan media sosial.

Ia tidak menghairankan kerana jika kita menoleh kepada persekitaran sekolah pada hari ini, kita mungkin biasa mendengar perkataan seperti ‘bodoh’ dilontarkan sesama pelajar tanpa rasa bersalah, seolah-olah ia sekadar gurauan.

Bayangkan jika setiap hari kita memanggil orang lain dengan gelaran sedemikian. Lama-kelamaan, kita akan hidup dalam satu lingkaran kejahilan yang mana bahasa kasar menjadi kebiasaan, pemikiran cetek diterima sebagai normal dan empati semakin terhakis.

Apabila meneliti laporan-laporan berita mutakhir yang menyorot perbualan di media sosial, kebimbangan terhadap kewujudan lingkaran kejahilan ini semakin ketara. Bahasa yang kasar, sindiran melampau dan kata-kata menghina mudah ditemui dalam ruangan komen serta perbincangan awam. Seakan-akan sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan golongan dewasa untuk berperangai sedemikian dan tanpa mereka sedar, ia menjadi contoh kepada generasi muda.

Antara gambaran paling jelas ialah apabila pasangan suami isteri terutamanya para selebriti membuka aib dan rahsia rumah tangga kepada khalayak ramai. Konflik peribadi yang dahulunya disimpan sebagai urusan dalaman kini dijadikan bahan tontonan umum di media sosial. Si suami mendedahkan kelemahan si isteri, begitu juga sebaliknya.

Keadaan ini jarang sekali bertujuan mencari penyelesaian yang sebenar. Sebaliknya, ia berkembang menjadi tarikan reaksi, komen dan sokongan maya. Orang luar bebas membuat andaian, memilih sisi atau menambah luka sedia ada dengan sindiran dan kecaman yang dilontarkan tanpa pertimbangan.

Lebih menyedihkan, muncul pula individu yang menggelar diri mereka sebagai coach perceraian, seolah-olah perpisahan itu suatu pencapaian yang wajar diraikan. Perkara yang jelas dibenci oleh Tuhan pula mahu dijuarainya.

Fenomena yang tidak kurang merisaukan ialah apabila ibu bapa sendiri menyalahgunakan anak-anak demi kandungan media sosial. Anak-anak diminta melakukan aksi yang kononnya lucu untuk meraih tontonan dan jumlah likes. Ada yang diberikan skrip yang tidak sesuai dengan usia mereka atau diarah melakonkan babak orang dewasa semata-mata untuk menghiburkan penonton.

Kandungan yang hari ini dianggap lucu mungkin menjadi punca rasa malu, tekanan emosi atau stigma sosial pada masa hadapan.

Dalam dunia hiburan pula, perbalahan sesama anggota kumpulan muzik sering membawa kepada perpecahan kumpulan dan kesannya turut merebak kepada peminat. Perbezaan pandangan ditafsirkan sebagai konflik yang perlu dipilih sisi. Peminat pula seakan mencurah minyak ke dalam api, mengecam, menyebarkan tuduhan dan melontarkan kata-kata yang melampaui batas sopan.

Sokongan yang sepatutnya memberi semangat berubah menjadi tekanan, seolah-olah setiap pemuzik wajib memenuhi jangkaan semua pihak pada setiap masa. Hakikatnya, muzik dicipta untuk menghiburkan dan menyatukan perasaan manusia, bukan untuk memecah-belahkan. Jika sesebuah karya berjaya menghiburkan, berilah pujian sebagai tanda sokongan. Jika sebaliknya, memadai dengan berdiam diri atau beralih kepada karya lain tanpa perlu menghina dan menjatuhkan maruah sesiapa.

Dari sudut lain, kita juga menyaksikan penyanyi yang sanggup beraksi melampaui batas demi menarik perhatian dan menambah bilangan peminat. Pentas seni yang sepatutnya menjadi ruang bersantai sambil berhibur bertukar menjadi medan eksploitasi sensasi. Lirik berkias lucah, gaya persembahan yang menjolok mata dan imej yang sengaja dibentuk untuk mencetuskan kontroversi dianggap sebagai jalan pintas menuju populariti.

Mungkin mereka lupa bahawa kecantikan, kemasyhuran, dan keseronokan itu sifatnya sementara. Maruah dan harga diri yang telah tergadai tidak akan dapat ditebus kembali.

Ringkasnya, atas nama kebebasan, pengguna media sosial berkongsi apa sahaja yang didorong nafsunya. Padahal gambar, video, dan kata-kata yang dikongsi itu akan kekal sepanjang zaman. Apabila zaman beredar dan mereka melihat semula konten media sosial yang terdahulu, mungkin mereka akan terfikir mengapa terlalu banyak masa dihabiskan dengan konten dan perbualan yang sia-sia yang tidak menambah sebarang ilmu dan manfaat sebaliknya menonjolkan kejahilan diri.

Oleh itu, tahun baharu ini wajar dijadikan titik perubahan untuk keluar dari lingkaran kejahilan ini. Berfikirlah sebelum bercakap, nilailah sebelum menulis dan timbanglah kesan sebelum bertindak. Kerana kata-kata dan tindakan hari ini akan menjadi cerminan diri kita pada masa hadapan.

M.MAHMOOD

HARAKAHDAILY 18/1/2026

- Advertisement -