
PEMUDA PAS Malaysia memandang serius insiden melibatkan seorang wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, yang mengemukakan soalan dengan naratif mengaitkan layanan kepada masyarakat Cina di Malaysia seolah-olah setaraf ‘aparteid’ terhadap rakyat Palestin.
Soalan ini bukan sekadar ‘pertanyaan biasa’, tetapi merupakan satu bentuk pembingkaian (framing) yang boleh mencetuskan persepsi jahat, memanaskan emosi kaum, dan mengganggu keharmonian negara.
Pemuda PAS mengambil maklum bahawa Rex Tan telah mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi. Dari sudut moral individu, permohonan maaf itu mungkin boleh diterima sebagai tanda tanggungjawab peribadi.
Namun, dalam konteks keselamatan awam dan kedaulatan perpaduan negara, isu ini tidak boleh ditutup hanya dengan sebuah ‘maaf’, kerana kesannya telah pun tersebar luas di media sosial dan berpotensi menular sebagai faham songsang dalam kalangan masyarakat.
Lebih membimbangkan, soalan yang dibangkitkan itu bukan berbentuk neutral. Ia seolah-olah ‘mengisytiharkan’ bahawa dakwaan-dakwaan tersebut kononnya bersandar kepada rujukan buku, fakta dan sumber tertentu, yang ramai rakyat Malaysia sendiri tidak pernah dengar, apatah lagi disahkan.
Ini menimbulkan persoalan besar: apakah sumber sebenar yang membentuk naratif berbahaya ini? siapa yang membekalkan bahan? dan apakah motif di sebaliknya?
Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa satu kertas siasatan wajar dibuka, dan laporan polis perlu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara berikut:
1. Sumber rujukan yang mendakwa wujudnya ‘aparteid’ di Malaysia seperti yang dipersoalkan.
2. Rangkaian penyebaran naratif perpecahan kaum ini, termasuk siapa yang mempromosi, menyusun, atau menghasut idea tersebut.
3. Tujuan sebenar soalan itu dibina dan disebarkan sehingga menjadi ‘bahan bakar’ di media sosial.
4. Potensi elemen hasutan, momokan kebencian, dan ancaman kepada ketenteraman awam.
Pemuda PAS ingin mengingatkan semua pihak bahawa Malaysia bukan medan uji kaji propaganda perkauman.
Menggandingkan realiti Malaysia dengan tragedi penindasan di Palestin dalam bentuk momokan ‘aparteid’ adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab. Lebih-lebih lagi apabila ia dimainkan dalam ruang media yang pantas mencetuskan reaksi massa.
Kami menyeru rakyat Malaysia agar bertenang dan tidak terperangkap dengan permainan persepsi yang boleh memecahkan perpaduan.
Dalam masa yang sama, kami mendesak pihak berkuasa, khususnya PDRM dan SKMM untuk memberi perhatian serius, menyiasat punca dan rangkaian naratif ini, serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Pemuda PAS Malaysia akan terus mempertahankan keharmonian negara, menolak politik kebencian, dan menutup ruang mana-mana pihak yang cuba menjadikan isu kaum sebagai senjata untuk merosakkan keamanan serta kestabilan Malaysia.
“Perpaduan negara bukan bahan eksperimen. Api perkauman mesti dipadam sebelum sempat marak.”
Sekian.
KHAIRUL NADZIR HELMI AZHAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 17/1/2026











