
MARANG: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas ditandatangani Malaysia dengan Amerika Syarikat dilihat merugikan negara sehingga mencalarkan maruah di mata dunia, kata Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Menurut beliau, perjanjian itu bukan sahaja memberi kesan negatif di peringkat antarabangsa, malah mencetuskan kemarahan beberapa negara termasuk Thailand dan Indonesia.
Katanya, pendekatan Perdana Menteri dalam menangani konflik antara Thailand dan Kemboja sebelum ini disampaikan dengan nada yang disifatkan sebagai ego, sekali gus menyinggung perasaan pihak Thailand.
“Kita bangga kononnya apabila berlaku krisis antara Thailand dan Kemboja, kita hanya perlu telefon dan Alhamdulillah mereka menghormati serta berdamai.
“Tapi bahasa seperti ini kurang ajar kerana seolah-olah memandang rendah pihak lain, seolah-olah mereka kecil manakala kita besar. Akibatnya, hari ini situasi hubungan Malaysia dengan negara luar menjadi sangat parah.
“Indonesia mengutuk kita dan negara-negara lain juga marah. Saya baru pulang daripada Makkah Al-Mukarramah, kebetulan sempat bertemu dengan rakan sejawatan saya ketika menjadi Timbalan Menteri.
“Semasa berbincang, saya sebut bahawa semua pihak marah dan mengutuk. Beliau berkata ramai orang berpendapat Arab Saudi bersama dengan Amerika, tetapi hakikatnya Arab Saudi tidak menandatangani sebarang perjanjian persefahaman dengan Amerika,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia 2026 di pekarangan Masjid Rusila, di sini, malam tadi.
Turut hadir, bekas Ahli Dewan Negara merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hussain Awang dan Pengarah Jawatankuasa Induk Mingguan Al-Quds Sedunia, Ustaz Muhamad Hamdi Harun.
Dalam ucapannya, beliau menggesa umat Islam di negara ini menolak Kerajaan Perpaduan yang menurutnya gagal mentadbir negara berlandaskan nilai Islam.
“Kerajaan Madani, Kerajaan Perpaduan yang diuar-uarkan sebenarnya bukanlah madani. Madani sebenar ialah sebuah kerajaan yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW dan menepati kaedah syarak,” katanya.
Beliau turut menyeru jentera parti di semua peringkat supaya digerakkan bagi menyatukan umat Islam dan membentuk sebuah negara di bawah naungan Islam.
“Kerajaan ini mesti kita lawan dengan usaha sekuat mungkin. Saudara dan saudari, apabila pulang ke cawangan masing-masing, gerakkan cawangan, balik ke DUN, gerakkan DUN! Satukan kumpulan kita, dan kita mesti menyatukan umat Islam dalam negara ini.
“Jangan kira parti mana. Orang Islam mesti bersatu. Kita perlu membentuk sebuah negara di bawah naungan Islam yang memayungi semua agama dan bangsa yang ada di Malaysia.
“Insya-Allah, kita akan terus memperjuangkan pembebasan bumi Palestin. Perjuangan kita juga adalah untuk membebaskan negara kita, Malaysia, supaya suatu hari nanti ia menjadi sebuah negara berdaulat, mampu membina serta mencorak masa depannya sendiri, InsyaAllah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/1/2026











