Jangan berangan lihat PAS terbubar – Khalil

Zahid Hamid digesa muhasabah diri

Khalil Yahaya
- Advertisement -

IPOH: PAS Negeri Perak menyifatkan kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyarankan agar PAS ‘terbubar sendiri’ sebagai dangkal dan gagal memahami denyut nadi rakyat yang kini memilih PAS sebagai wadah perjuangan utama.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Ustaz Khalil Yahaya dalam satu kenyataan berkata, kenyataan sedemikian bukan sahaja memperlihatkan kelemahan pemahaman terhadap amalan demokrasi, malah ia datang daripada pemimpin parti yang sedang berada di titik terendah dalam sejarahnya.

Menurutnya, PAS Perak menyokong penuh ketegasan Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad dalam menyanggah provokasi tersebut.

“Sejarah tidak pernah menipu melalui angka. Trend penurunan sokongan terhadap Umno secara konsisten menunjukkan bahawa rakyatlah yang sebenarnya sedang ‘membubarkan’ kepercayaan terhadap kepimpinan Umno hari ini.

“Daripada menguasai 109 kerusi pada PRU 2004, Umno merosot ke tahap paling parah dengan hanya 26 kerusi pada PRU15.

“Sebaliknya, PAS kini memegang mandat tunggal terbesar di Dewan Rakyat dengan 43 kerusi Parlimen. Persoalan logik, bagaimana sebuah parti yang paling dipercayai rakyat hari ini disuruh bubar oleh seorang pemimpin parti yang sedang merosot?” soalnya.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah itu turut meluahkan rasa dukacita apabila agenda penyatuan ummah dan kepentingan Islam seolah-olah perlu mendapat ‘kelulusan’ Kabinet terlebih dahulu.

Beliau menegaskan, PAS berjuang di pentas demokrasi berteraskan prinsip tanpa perlu tunduk kepada mana-mana pihak, apatah lagi sebuah Kabinet yang dianggotai oleh DAP yang jelas berbeza ideologi.

“Umno sebagai parti yang mempunyai 3.5 juta ahli seharusnya merasa terhina apabila langkah politik dan agenda Islam mereka perlu meminta izin daripada rakan koalisi yang selama ini ditentang oleh ahli akar umbi mereka sendiri,” ujarnya.

Khalil turut menegaskan bahawa PAS bukan lagi dilabel sebagai parti kampung, sebaliknya kini merentas sempadan pengaruh dengan dokongan golongan profesional, intelektual, dan anak muda yang mahukan politik matang serta berintegriti.

Justeru, beliau mendesak Ahmad Zahid supaya berhenti berangan-angan melihat PAS terbubar.

“Sebaliknya, beliau harus muhasabah mengapa rakyat semakin meninggalkan beliau dan partinya.

“Kami percaya masih ramai ahli akar umbi Umno yang ikhlas dan tidak selesa dengan hala tuju kepimpinan mereka yang semakin jauh daripada matlamat asal perpaduan ummah.

“PAS akan terus melangkah gagah sebagai pejuang kedaulatan Islam dan tanah air, dengan keyakinan bahawa rakyat adalah hakim terbaik dalam menentukan masa depan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2026

- Advertisement -