Balai Seni Lukis perkukuh ekosistem seni, kreatif

Zamankhshari (empat dari kanan) menerima cenderahati daripada Ismail (tiga dari kanan) yang dilukis sendiri oleh beliau.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Balai Seni Lukis Kelantan terus memainkan peranan penting sebagai institusi utama dalam memartabatkan seni visual serta memperkukuh ekosistem seni dan kreatif di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, balai seni berkenaan bukan sekadar berfungsi sebagai ruang pameran, malah menjadi pemangkin pembangunan bakat, dokumentasi seni dan pertumbuhan ekonomi kreatif negeri.

- Advertisement -

Menurutnya, Balai Seni Lukis Kelantan berperanan sebagai pusat rujukan seni visual, platform melahirkan bakat seniman muda serta medan interaksi antara penggiat seni dan masyarakat.

“Kewujudan balai seni ini turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi kreatif melalui penganjuran program seni yang berfokus dan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sepetang Bersama Legasi Ismail Embong di Balai Seni Lukis Kelantan, di sini, semalam.

Pada pameran berkenaan, hampir 200 karya legasi pelukis tersohor Ismail Embong bersama dua anaknya, Shikin Maembong dan Emma Maembong dipamerkan bermula 25 November 2025 hingga 29 Januari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah barisan artis terdiri daripada Emma Maembong, Shikin Maembong dan Cat Farish.

Zamakhshari berharap Balai Seni Lukis Kelantan dapat terus menjadi wadah subur dalam melahirkan lebih ramai pelukis dan pengkarya tempatan yang berupaya menembusi peringkat nasional dan antarabangsa.

“Marilah kita manfaatkan balai seni ini sebagai ruang pendidikan, apresiasi dan penyatuan masyarakat melalui seni,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan seni yang berpaksikan nilai, adab dan jati diri mampu berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi lama dan baharu dalam memelihara warisan budaya negeri.

Dalam masa sama, beliau berharap Balai Seni Lukis Kelantan sentiasa dihidupkan dengan penganjuran pameran, bengkel, diskusi serta program seni yang inklusif dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Program berkonsep santai itu menampilkan Tokoh Seni Negara, Ismail Embong bersama dua anaknya, Fatimah Rohani atau Emma Maembong dan Siti Nur ‘Ashikin atau Shikin Maembong, yang memperlihatkan kesinambungan pemikiran dan tradisi seni dalam sebuah keluarga pengkarya tersohor.

Sepanjang tempoh pameran, karya-karya keluarga Ismail Embong dipamerkan kepada umum dan ditawarkan untuk jualan bermula pada harga RM25,000, tertakluk kepada rundingan mengikut medium, saiz dan motif pengolahan visual.

Dalam pada itu Zamakhshari berkata, pameran tersebut turut mendapat sokongan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan sebagai usaha menyahut aspirasi nasional dalam merancakkan pelancongan budaya serta memperkukuh kedudukan Kelantan dalam peta seni visual negara.

Sementar, Ismail Embong pula menjelaskan, pameran berbentuk jelajah itu mengetengahkan keindahan budaya serta kepelbagaian etnik masyarakat Malaysia menerusi karya seni atas kanvas.

Menurutnya, jelajah pameran tersebut bermula di Terengganu sebelum diteruskan di Kelantan dan seterusnya dirancang ke Kedah serta Melaka.

“Kami ingin memperkenalkan kepelbagaian etnik negara kepada masyarakat umum dan berharap pameran ini mampu menembusi peringkat antarabangsa kerana Malaysia mempunyai keunikan budaya yang masih terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat membawa pameran berkenaan ke Eropah, khususnya England, serta ke Brunei sekiranya mendapat sokongan dan tajaan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata usaha melahirkan pelapis pelukis yang berminat menghasilkan karya berteraskan etnik dan budaya berdepan cabaran, terutama apabila generasi muda kini lebih cenderung kepada aliran seni moden.

“Saya pernah melatih kira-kira 600 pelajar sekolah sebagai pelapis, namun pandemik Covid-19 menyebabkan usaha itu terhenti.

“Pembentukan pelapis seni perlu dimulakan sejak usia muda bagi memastikan kesinambungan warisan seni dan budaya terus terpelihara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2026

- Advertisement -