
TUMPAT: Sebarang penganjuran glamping atau apa jua program yang mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, biseksual, transgender dan berkaitan (LGBTQ) tidak wajar dibenarkan kerana ia merupakan agenda songsang yang bercanggah dengan dasar negara serta nilai kemanusiaan sejagat.
Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, gerakan pro-LGBTQ dilihat secara berterusan dan agresif memasarkan fahaman menyimpang mereka kepada masyarakat melalui pelbagai bentuk aktiviti yang kelihatan santai, namun hakikatnya bersifat mengelirukan dan merosakkan.
Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya membuka ruang kepada sebarang bentuk promosi, penularan atau penyusupan agenda yang jelas bertentangan dengan polisi negara serta berpotensi menghancurkan masa depan generasi dan tamadun manusia.
“Apa lagi agenda ini membawa kesan jangka panjang yang sangat berbahaya kepada pembinaan generasi dan kelangsungan tamadun pada masa hadapan.
“Islam melalui al-Quran secara jelas mengutuk perbuatan ini kerana ia merosakkan individu, institusi keluarga serta struktur masyarakat secara menyeluruh,” katanya kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas penganjuran ‘Glamping with Pride’, iaitu program perkhemahan mewah yang didakwa mengandungi unsur promosi LGBTQ di Selangor.
Beliau menegaskan bahawa amalan seks luar tabii jelas bertentangan dengan fitrah Islam serta agama-agama samawi lain, malah disifatkan sebagai agenda ekstrem yang meraikan hawa nafsu dan kehendak seksual semata-mata.
“Ia akhirnya membawa padah besar kepada diri, keluarga dan masyarakat. Ini bukan isu kebebasan atau pilihan peribadi, sebaliknya satu bentuk kerosakan nilai yang serius,” ujarnya.
Tambah beliau, penganjur tidak sepatutnya sama sekali menganjurkan sebarang program glamping atau aktiviti berkaitan LGBTQ memandangkan krisis kemanusiaan yang melanda negara-negara Barat akibat normalisasi agenda tersebut kini berada pada tahap yang membimbangkan.
“Jangan sesekali membawa atau memasarkan agenda tidak sihat ini ke dalam negara. Ia bukan suatu opsyen, bukan aktiviti biasa, sebaliknya satu bentuk jenayah kemanusiaan global yang wajib ditolak,” tegasnya.
Mumtaz juga menekankan bahawa mempertahankan nilai fitrah, agama dan kemanusiaan merupakan tanggungjawab bersama demi menjamin kesejahteraan generasi serta kelangsungan tamadun pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 15/1/2026











