
ALOR SETAR: Penyatuan bangsa Melayu bukan sekadar isu politik bermusim atau slogan menjelang pilihan raya sebaliknya merupakan amanah sejarah yang menyentuh soal kelangsungan maruah bangsa serta masa depan Islam di tanah air sendiri.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Profesor Dr Haim Hilman berkata, walaupun harapan untuk melihat orang Melayu benar-benar bersatu kelihatan masih jauh namun keadaan itu tidak mustahil untuk dicapai jika wujud kejujuran dan keberanian dalam kepimpinan.
Menurut beliau, kebenaran perlu diungkap secara jujur dan berani bahawa penyatuan Melayu tidak akan tercapai selagi kepimpinan bangsa gagal meletakkan kepentingan agama dan umat mengatasi kepentingan peribadi, jawatan serta pengaruh.
“Penyatuan tidak lahir daripada retorik, tetapi daripada pengorbanan. Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang besar tidak dibina oleh pemimpin yang mempertahankan kerusi, tetapi oleh pemimpin yang sanggup kehilangan segalanya demi prinsip,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Haim Hilman menegaskan, realiti hari ini amat mendukacitakan apabila masih terdapat pemimpin Melayu yang terus berpegang pada jawatan walaupun jelas kehadiran mereka telah menjadi beban kepada parti, bangsa dan umat.
Lebih membimbangkan jelasnya lagi, wujud segelintir pemimpin yang terperangkap dalam ilusi kehebatan diri sehingga merasakan diri paling bijak dan paling layak, sedangkan hakikatnya gagal membaca realiti serta menilai kelemahan sendiri.
“Pemimpin sebegini bukan sahaja sukar ditegur malah dikelilingi oleh pengikut yang mengukuhkan kesilapan mereka dengan kesetiaan membuta tuli. Di sinilah bermulanya kerosakan,” ujarnya.
Beliau berkata, apabila kuasa menjadi tujuan dan bukan amanah, serta jawatan dianggap sebagai hak dan bukan tanggungjawab maka kepimpinan akan berubah menjadi alat mempertahankan kepentingan diri.
“Kuasa membuka ruang kepada nepotisme, kronisme dan budaya melindungi kesalahan. Inilah titik di mana perjuangan berubah menjadi perniagaan, dan kepercayaan rakyat dikhianati secara perlahan,” hujahnya.
Mengulas persoalan mengapa keadaan tersebut dibiarkan berlarutan, Dr Haim Hilman menyatakan, ada pemimpin yang licik bermain janji sehingga rakyat terpedaya manakala ada rakyat yang terlalu lama dikurung oleh naratif lama sehingga gagal melihat alternatif yang lebih bersih dan berwibawa.
Tambah beliau, terdapat juga insan baik dalam parti yang memilih untuk diam kerana takut kehilangan kedudukan atau disisihkan sekali gus membiarkan kebatilan terus berakar.
Akibatnya katanya, politik Melayu menjadi lesu, rakyat hilang harapan, pemimpin hilang arah dan penyatuan sekadar tinggal kenangan.
“Selagi kepimpinan utama parti-parti Melayu tidak berani berubah usaha membina payung besar untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam akan terus rapuh, mudah runtuh dan tidak diyakini oleh generasi masa depan,” tegasnya.
Namun demikian, Dr Haim Hilman menegaskan bahawa sejarah tidak pernah ditentukan oleh keputusasaan sebaliknya oleh keberanian untuk berubah dan perubahan itu tidak bermula di istana kuasa tetapi di hati setiap orang Melayu.
Beliau menyeru setiap Melayu yang cintakan bangsanya agar menyedari tanggungjawab menggunakan hak sebagai pengundi kerana tidak mengundi bermakna menyerahkan masa depan bangsa kepada tangan orang lain.
“Setiap undi adalah amanah dan setiap amanah akan dipersoalkan,” katanya.
Beliau menyatakan juga, dalam masa sama parti-parti Melayu wajib bermuhasabah secara jujur dengan menggantikan kesetiaan palsu kepada keberanian serta mengetengahkan calon-calon yang bersih, berintegriti, adil, berjiwa rakyat dan berpandangan jauh tanpa mengira usia atau kedudukan lama.
Pemimpin bermasalah tegas beliau, mesti direhatkan dan bukan dipertahankan atas nama kesetiaan.
“Orang Melayu juga perlu berani membuat pilihan yang strategik dan matang kerana dalam keadaan politik semasa penyatuan hanya boleh berlaku melalui satu kekuatan yang paling stabil dan konsisten memperjuangkan Islam dan Melayu,” katanya.- HARAKAHDAILY 8/1/2026











