
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Naib Pengerusi PAN Kelantan, Che Ibrahim Mohamed telah memfitnah pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, dan memerintahkannya membayar pampasan serta kos kepada plaintif, hari ini.
Firdaus Wong memaklumkan bahawa mahkamah mengarahkan defendan membayar RM50,000 sebagai ganti rugi am (general damages), kos berjumlah RM10,000, serta faedah sebanyak lima peratus sehingga penyelesaian penuh dibuat.
“Saya kekal dengan prinsip bahawa kita boleh sahaja berbeza pendapat dalam pelbagai isu tetapi bukannya dengan memfitnah,” ujar pendakwah itu dalam media sosial miliknya hari ini.
Firdaus Wong turut memaklumkan masih terdapat beberapa individu lain termasuk penyokong politik daripada parti berlainan serta beberapa individu belum Muslim yang telah diserahkan Notis Tuntutan (Notice of Demand – NOD) kepada mereka.
“Jika tegur dengan baik tidak jalan tetapi masih tetap mahu memfitnah, maka kita jumpa sahaja di mahkamah,” tegasnya.
Walaupun menyifatkan jumlah pampasan yang diberikan sebagai rendah, Firdaus Wong berharap kemenangan itu menjadi pengajaran kepada semua pihak.
“Ini baru mahkamah dunia, belum lagi mahkamah akhirat. Bertaubatlah,” katanya.
Terdahulu, Che Ibrahim melalui hantaran di media sosial miliknya yang telah pun dipadamkan mendakwa Firdaus Wong serta Presiden Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy sebagai ekstremis dan bahaya kepada Islam dan ketenteraman negara.
“Mereka sengaja cipta persepsi supaya Melayu dan India berkelahi dan kedua dua membenci kerajaan madani,” dakwa Che Ibrahim melalui hantaran yang telah dipadamkan itu.
Che Ibrahim merujuk laporan akhbar tempatan bahawa, Firdaus Wong mempersoalkan tindakan Jakel Trading yang mahu membayar pampasan bagi pemindahan sebuah kuil Hindu di Kuala Lumpur.
Firdaus dalam laporan itu menyifatkan langkah itu tidak wajar kerana kuil berkenaan dibina secara haram di atas tanah persendirian dan pemilik tanah telah bersabar lebih 10 tahun.
Firdaus turut mempersoalkan mengapa tuntutan pampasan sebegitu sering berlaku di Malaysia berbanding negara lain.
Che Ibrahim juga merujuk laporan akhbar tempatan bahawa P Ramasamy mendakwa jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman ditekan dan dipaksa menerima pemindahan kuil selepas rundingan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jakel Trading.
Ramasamy menurut laporan itu menegaskan keputusan itu tidak dibuat secara bebas dan adil, walaupun pihak kerajaan dan jawatankuasa kuil menyatakan persetujuan dicapai melalui rundingan.
Ramasamy turut membangkitkan isu ketidakjelasan kos pemindahan dan memberi amaran tindakan itu boleh menjejaskan sokongan masyarakat India terhadap kerajaan. – HARAKAHDAILY 7/1/2026











