
KUALA LUMPUR: Penyakit gugur daun Pestalotiopsis atau Pestalotiopsis Leaf Fall Disease (PLFD) dijangka memberi kesan teruk terhadap pengeluaran getah negara sekiranya tidak dikawal secara sistematik dan bersepadu.
Bakri Jamaluddin berkata, serangan penyakit kulat itu dikesan berada pada tahap serius khususnya di Terengganu, berdasarkan pemerhatian dilakukan dari udara ketika penerbangan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
“Dari udara saya dapati serangan Pestaloptiosis sangat serius di Terengganu. Kesannya dapat dilihat dengan jelas dari pesawat sebelum mendarat di lapangan terbang Kuala Terengganu,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, beliau turut mengambil inisiatif melakukan tinjauan di Pahang dengan perjalanan dari Kemaman melalui Jerantut hingga ke Kuala Lipis, dan mendapati penyakit berkenaan telah merebak secara meluas.
Bakri yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, keadaan cuaca lembap dan musim hujan ketika ini menyebabkan kulat PLFD merebak dengan lebih cepat, sekali gus memburukkan lagi keadaan industri getah negara.
Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi Perikatan Nasional itu menjelaskan, penyakit gugur daun Pestalotiopsis merupakan penyakit kulat serius yang menyerang pokok getah, menyebabkan keguguran daun pramatang dan meluas.
“Jangkitan ini mengurangkan keupayaan fotosintesis pokok dan seterusnya membawa kepada penurunan signifikan hasil pengeluaran lateks serta kemerosotan daya produktiviti pokok getah,” terangnya.
Walaupun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) belum mengeluarkan data rasmi pengeluaran getah negara bagi tahun 2025, Bakri menjangkakan pengeluaran getah akan merosot berbanding 386,512 tan yang dicatatkan pada tahun 2024.
Sekiranya penyakit PLFD tidak dikawal dengan sistematik, bersepadu dan tuntas, beliau menganggarkan hasil pengeluaran getah negara boleh merosot sehingga 300,000 tan sahaja bagi tahun 2026.
Dalam tinjauan lapangan dilakukan, Bakri berkata ramai pekebun kecil getah mengeluh apabila hasil yang sebelum ini mencecah sekitar 400 kilogram sebulan kini merosot kepada kira-kira 100 kilogram sahaja.
Menurutnya, dengan pendapatan sekitar RM400 hingga RM600 sebulan, ramai pekebun memilih untuk menukar tanaman getah kepada kelapa sawit, malah ada yang hilang minat untuk terus menoreh.
Beliau turut memberi perhatian terhadap kesan penyakit PLFD terhadap pokok getah kecil dan muda, yang disifatkan boleh melambat dan membantutkan pertumbuhan tanaman.
“Kebiasaannya pokok getah akan mencapai tahap boleh ditoreh pada umur enam hingga tujuh tahun selepas ditanam, (namun serangan penyakit ini) akan (menyebabkan tempoh tersebut) menjadi lebih lama untuk dapat ditoreh,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/1/2026











