
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir, mempersoalkan prinsip DAP susulan kritikan parti itu terhadap Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata, DAP sebelum ini lantang menyerang Umno dengan pelbagai tuduhan keras, namun selepas pilihan raya parti yang sama pula dijulang demi kepentingan kuasa.
“Dulu belasah Umno sampai tak ingat hari, penyamun, perompak, bapak rasuah. Tetapi selesai pilihan raya, yang mereka lanyak itulah yang mereka julang demi kuasa,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Menurut Roslan Shahir, tindakan DAP mempersoalkan prinsip Dr Akmal disifatkan tidak konsisten dan mencerminkan ketiadaan pendirian yang jelas.
Beliau menegaskan, isu yang dibawa oleh Dr Akmal bukan lagi sekadar isu kepartian, sebaliknya membabitkan maruah, nasib dan masa depan umat Melayu.
“Kamu serang dan perlekeh beliau bukan sekadar Pemuda Umno, tetapi umat Melayu akan bangkit dan menolak kamu. Percayalah. Jangan berlebih-lebih,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Pemuda DAP (DAPSY) mencabar Dr Akmal supaya meletakkan jawatan sebagai Exco Melaka jika benar-benar berpegang pada prinsip untuk keluar daripada ‘Kerajaan Perpaduan’.
Pemuda DAP mendakwa, kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan desakan Akmal hanyalah gimik politik dan bertentangan dengan pendirian parti. – HARAKAHDAILY 7/1/2026











