Fitnah: Ustaz Rosmin saman SU Akhbar MB N9 RM1 juta

- Advertisement -

SEREMBAN: Ustaz Rosmin Adam mengesahkan sesi mediasi membabitkan beliau dan pihak defendan di Pusat Mediasi Mahkamah Seremban 2 (S2) gagal mencapai sebarang persetujuan, sekali gus membuka laluan untuk meneruskan tindakan saman sivil.

Menurutnya, sesi mediasi tersebut dihadiri pada pagi Isnin, 5 Januari 2026 bersama pasukan peguamnya, iaitu Muhammad Rafique Rashid Ali dan Muhammad Amirul Ar Rasyid Azman.

- Advertisement -

Beliau berkata, kes berkenaan berkaitan tindakan saman yang difailkan terhadap pihak defendan susulan dakwaan bahawa beliau telah menfitnah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada bulan Ramadan.

Ia selain dakwaan itu dipaparkan dan disebarkan menerusi sebuah akhbar milik Kerajaan Negeri Sembilan, Akhbar Kita.

“Dalam semangat keadilan, perdamaian dan jalan yang lebih baik, dalam pertemuan mediasi ini saya telah menawarkan penyelesaian secara berkompromi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Ustaz Rosmin, tawaran penyelesaian itu dibuat dengan dua syarat, iaitu pihak defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada beliau serta membayar pampasan teladan sebagai tanda tanggungjawab dan pengajaran.

Bagaimanapun, beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Seremban berkata, pihak defendan menolak tawaran penyelesaian tersebut.

Sehubungan itu, beliau bersama pasukan peguamnya bersedia sepenuhnya untuk meneruskan tindakan saman sivil berjumlah RM1 juta terhadap dua defendan, iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ketua Editor Akhbar Kita, Ahmad Shahir Mohd Shah, serta Akhbar Kita.

Menurut beliau, tindakan saman itu diambil bukan atas dasar dendam, sebaliknya bagi menegakkan kebenaran, mempertahankan maruah serta memastikan budaya fitnah dan penyalahgunaan media tidak terus berleluasa, khususnya apabila melibatkan bulan yang mulia.

“Saya menyerahkan sepenuhnya urusan ini kepada Allah SWT. Moga Allah memudahkan segala usaha ini, menzahirkan kebenaran dan mengurniakan kemenangan kepada pihak yang benar,” katanya.

Terdahulu, writ saman itu telah difailkan oleh peguam Ustaz Rosmin, Rafique pada Rabu 23 Oktober di Mahkamah Tinggi Malaya, Seremban.

Saman itu dibuat susulan laporan yang memfitnah Ustaz Rosmin dengan mengaitkan ceramahnya kepada tohmahan terhadap Menteri Pendidikan serta dakwaan memutar belit ayat Al-Quran.

Ustaz Rosmin menuntut saman tersebut bagi membersihkan reputasi, menghentikan penggantungan tauliah ceramah, serta menuntut ganti rugi teladan. – HARAKAHDAILY 7/1/2026

- Advertisement -