Analisis geopolitik: Mesir dalam kepungan strategik

- Advertisement -

PENGIKTIRAFAN rejim Zionis terhadap ‘Somaliland’ berlaku hanya beberapa hari selepas satu manuver strategik Mesir terhadap Ethiopia melalui kehadiran ketenteraan Mesir di Pelabuhan Assab, sebuah pelabuhan yang sangat diidamkan oleh Ethiopia.

Langkah ini merupakan usaha Kaherah untuk memaksa Ethiopia kembali ke meja rundingan, menghalangnya daripada menjejaskan kepentingan Mesir (khususnya Sungai Nil), serta mewujudkan keseimbangan kuasa di rantau tersebut.

Dalam situasi ini, rejim Zionis tampil mengambil alih peranan sebagai pemain utama dengan menyingkirkan peranan ejen sedia ada, lalu mengiktiraf Somaliland. Wilayah inilah yang sebelum ini Mesir telah menyatakan kesediaan untuk hadir melalui pasukan antarabangsa.

- Advertisement -

Ini adalah satu permainan catur geopolitik yang mendedahkan banyak hakikat. Ia menunjukkan wujudnya penyelarasan antara dua entiti, iaitu Ethiopia yang berfungsi sebagai kuasa proksi dan rejim Zionis yang juga berfungsi sebagai kuasa proksi, namun salah satunya berperanan sebagai proksi kepada proksi yang lain.

Kepada saudara-saudara Muslim di Ethiopia, sedarlah bahawa kalian sedang diperalatkan dalam permainan yang jauh lebih besar daripada semua pihak. Kalian sedang diarahkan untuk menjadi alat yang akhirnya akan memusnahkan umat Islam sendiri.

Isu ini bukan semata-mata berkaitan air Sungai Nil yang dijadikan alasan untuk menekan Mesir, tetapi tekanan itu berlaku tanpa justifikasi yang munasabah, selain tujuan meningkatkan tekanan politik.

Sejak bertahun-tahun lalu, jelas bahawa matlamat sebenar adalah mengepung Mesir dan menyibukkannya di pelbagai front. Di Selatan melalui Sudan, punca Sungai Nil dan pintu masuk Laut Merah. Di Barat pula melalui Libya.

Semua ini bertujuan menghalang Mesir daripada melaksanakan peranan strategiknya dan menafikan kestabilan yang merupakan asas kepada setiap kebangkitan dan kemakmuran.

Kelihatan bahawa strategi sebenar adalah untuk mencekik Mesir dan merampas kunci-kunci kekuatannya supaya Mesir terus kekal sebagai sebuah negara besar, tetapi dalam keadaan sakit dan lemah.

Pihak yang bercita-cita tinggi, iaitu sebuah ‘negara Arab’, dan pihak yang tamak, iaitu ‘negara Ibrani’, saling bekerjasama dan memainkan irama yang sama.

Agenda mereka ialah merosakkan dan memecah-belahkan negara-negara Arab, bermula dari Yaman dan tidak terhenti di Somalia. Jika pemecahan tidak dapat dilakukan, maka mereka akan melemahkan negara tersebut dan membeli sumber-sumber strategiknya, sebagaimana yang sedang dicuba di Mesir dan Maghribi, sementara Allah telah melindungi Algeria daripada keburukan mereka.

Apabila seseorang memahami semua ini, lalu menambah kepada gambaran tersebut pengetahuan bahawa ‘negara Arab’ yang sama ini secara ‘kebetulan’ turut mengiktiraf Somaliland bersama rejim Zionis dan memiliki kedutaan di sana, maka gambaran sebenar menjadi jelas walaupun kepada orang yang buta, berpura-pura buta, jahil atau berpura-pura jahil.

Mesir kini dikepung dan sedang diusahakan untuk dilemaskan. Jika Allah mentakdirkan Mesir jatuh, maka semua pihak, sama ada yang tamak, yang bercita-cita tinggi, yang jahil dan yang berpura-pura jahil, akan menangis kesal. Ini kerana Mesir, walaupun dalam keadaan paling lemah, tetap menjadi benteng kepada bangsa Arab dan umat Islam. Justeru, kebangkitan dan kesedaran Mesir tidak diinginkan.

Sesungguhnya, setiap usaha pembaikan, perdamaian dan kerja yang dilakukan dengan kesungguhan di Mesir, serta setiap benih kebaikan yang ditanam di bumi ini, merupakan benteng untuk menangkis ancaman musuh, sekali gus memperkukuh umat Arab dan umat Islam. Hakikat ini difahami oleh mereka yang mengetahui, dan diabaikan oleh mereka yang jahil.

والله غالب على أمره

“Dan Allah Maha Berkuasa atas segala urusan-Nya.”

Oleh: SHEIKH DR AHMAD AL-DAMANHURI AL-AZHARI
(Tulisan pada 27 Disember 2025)

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
7 Januari 2026 | 17 Rejab 1446H – HARAKAHDAILY 7/1/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -