
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menasihati semua pihak agar tidak melantik pemimpin yang mempunyai ‘beban’ kerana ia membawa implikasi kerugian kepada negara.
Katanya, melantik pemimpin yang ada ‘beban dan kesilapan’, akan menyukarkan pemimpin berkenaan untuk membuat sesuatu tindakan berisiko kerana bimbang kesilapannya akan diungkit.
“Orang akan buat gitu. Patah balik. Itulah masalahnya bila negara ada pemimpin macam tu. Rugilah,” katanya ketika ditemui media pada Perhimpunan Penjawat Awam Kakitangan Kerajaan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sanusi berpandangan demikian bagi mengulas pertanyaan media berhubung kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam, yang akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.
Pada 3 Januari lalu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh, pada Konvensyen Khas sayap itu membawa dua usul iaitu kembali bekerjasama dengan PAS dan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan serta bertindak sebagai pembangkang.
Berikutan itu, Ahmad Zahid memaklumkan, tiada kata putus dicapai mengenai gesaan Pemuda Umno agar parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Oleh itu ujar Sanusi, pada masa akan datang pastikan pemimpin yang dilantik perlu bebas dari ‘beban’ agar tidak terikat dengan mana-mana pihak apabila membuat keputusan.
“Ni tidak…orang ‘usik’ sikit, habislah. Bukan peringkat antarabangsa pun, baru dalam negara.Orang sebut pasal 47…..berhenti. Habislah, rugi negara ini,” bidas beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS.
Sementara itu, berhubung peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pusat, belum dikira sah, sehingga dilakukan secara rasmi oleh beliau.
Sanusi berkata, walaupun Tan Sri Muhyiddin sudah umum dan menulis surat, tetapi mengikut Perlembagaan PN, peletakan jawatan itu perlu dibuat di dalam mesyuarat.
“Jadi saya mintalah, tak perlulah sebut, kawan ni, kawan nu, akan ganti, sedangkan perletakan jawatan itu belum sah lagi. Dia kena letak dalam mesyuarat, baru dikira sah,” kata beliau lagi.
Selain itu, tegasnya, mesyuarat juga berhak untuk membuat keputusan sama ada menerima peletakan jawatan tersebut ataupun terus mengekalkan beliau.
“Tapi saya tak tahulah, kalau dikekalkan kena tanya pemimpin terbabit. Kalau dia dah tekad, takkan mesyuarat tak terima. InsyaAllah, mesyuarat PN Pusat akan diadakan dalam tempoh tidak sampai sampai seminggu dari sekarang,” tambah beliau
Pada 30 Disember lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya, mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN yang berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Walau bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang sebab mengapa tindakan itu diambil. – HARAKAHDAILY 7/1/2026











