Banjir di Bestari Jaya sebab masalah sistem saliran

- Advertisement -

​KUALA SELANGOR: Pembangunan projek perumahan baharu di Bestari Jaya perlu dilaksanakan secara lestari tanpa mengabaikan risiko banjir yang mungkin menimpa penduduk setempat, khususnya di kawasan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan menegaskan, walaupun beliau tidak menghalang sebarang bentuk kemajuan, namun aspek kelestarian alam sekitar dan pengurusan air perlu diberi keutamaan tertinggi.

- Advertisement -

​Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dan mendengar taklimat ringkas daripada pihak pemaju projek perumahan Scientex, hari ini.

​“Bagi fasa Plot 1, pembangunan untuk tempoh lima tahun ini melibatkan kira-kira 2,000 unit perumahan dengan keluasan sekitar 202 ekar.

​“Saya menegaskan pendirian bahawa saya tidak menghalang pembangunan, namun setiap pembangunan mestilah dilaksanakan secara lestari serta tidak menjejaskan alam sekitar dan tidak menyumbang kepada risiko banjir,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

​Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Projek, Penghulu Mukim Bestari Jaya serta wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ia merupakan susulan daripada Taklimat Banjir yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah pada Isnin lalu.

​Dalam perbincangan itu, Jefri turut menegur reka bentuk sistem kolam takungan yang dicadangkan dalam pelan pembangunan tersebut.

​“Saya membangkitkan isu berkaitan aliran air dan sistem kolam takungan yang berfungsi menyimpan air sebelum dilepaskan keluar.

​“Saya meminta agar reka bentuk kolam takungan pertama diteliti semula kerana bentuk serta kedalamannya dilihat kurang sesuai dan memerlukan penelitian yang lebih terperinci,” jelasnya.

​Selain itu, beliau turut menyarankan JPS dan agensi berkaitan supaya memastikan kapasiti Parit Haji Abdul Manan mampu menampung aliran air keluar dari kawasan pembangunan itu sebelum ia mengalir ke Sungai Selangor.

​”Langkah ini kritikal bagi mengelakkan limpahan air yang boleh mengakibatkan banjir di Kampung Bukit Badong dan kawasan sekitarnya ketika hujan lebat.” katanya. – HARAKAHDAILY 8/1/2026

- Advertisement -