
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menegaskan agar budaya fitnah tidak boleh dibiasakan dalam mana-mana bentuk penulisan, khususnya apabila ia melibatkan individu dan institusi yang mempunyai tanggungjawab awam.
Ketua Penerangannya, Ismail Mahat berkata, pihaknya memandang serius sebarang penulisan yang bersifat mengelirukan, berprasangka serta tidak berasaskan fakta yang sahih.
Kenyataan beliau itu merujuk kepada isu berkaitan saman fitnah yang difailkan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Seremban, Ustaz Rosmin Adam terhadap Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.
”PAS berpendirian bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan fitnah, apatah lagi apabila ia boleh mencemarkan reputasi individu, merosakkan keharmonian masyarakat serta menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik dan pentadbiran negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Ismail berkata PAS Negeri Sembilan menggesa semua pihak, khususnya pengamal media dan penulis politik agar berpegang kepada etika kewartawanan.
Menurutnya, prinsip keadilan dan kebenaran perlu diutamakan serta menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.
”PAS Negeri Sembilan kekal komited untuk mempertahankan nilai integriti, akhlak dan keadilan dalam wacana awam, dan menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha membudayakan fitnah demi kepentingan politik sempit,” katanya.
Terdahulu, HarakahDaily melaporkan Ustaz Rosmin mengesahkan sesi mediasi membabitkan beliau dan pihak defendan di Pusat Mediasi Mahkamah Seremban 2 (S2) pada Isnin lalu gagal mencapai sebarang persetujuan.
Kegagalan itu membuka laluan untuk beliau meneruskan tindakan saman sivil berjumlah RM1 juta terhadap dua defendan iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ketua Editor Akhbar Kita, Ahmad Shahir Mohd Shah serta Akhbar Kita.
Ustaz Rosmin dipetik berkata, dalam semangat keadilan dan perdamaian, beliau telah menawarkan penyelesaian kompromi dengan syarat defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan teladan, namun tawaran itu ditolak.
Saman tersebut difailkan susulan laporan yang mendakwa beliau telah memfitnah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada bulan Ramadan serta dikatakan memutar belit ayat al-Quran yang disiarkan menerusi akhbar milik kerajaan negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 8/1/2026











