
HULU LANGAT: Pengurusan sisa pepejal di Selangor kini disifatkan berada pada titik genting apabila negeri itu merekodkan penjanaan hampir 10,000 tan sisa setiap hari, satu jumlah yang dijangka terus meningkat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, realiti itu menuntut pentadbiran negeri menerima hakikat bahawa kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah semata-mata tidak lagi mampan.
Beliau berkata demikian susulan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS).
“Dalam mesyuarat ini, ADUN dimaklumkan mengenai kemajuan peralihan ke Waste-to-Energy (WTE) yang diterajui oleh Worldwide Holdings Berhad dan KDEB Waste Management, termasuk projek WTE Jeram dan Tanjung 12.
“Loji Jeram kini hampir siap dan dijangka beroperasi pada suku pertama 2026, dengan kapasiti 3,000 tan sisa sehari serta penjanaan 52 MW tenaga elektrik,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknyai.
Selain itu, mesyuarat berkenaan turut membentangkan status projek Sultan Idris Shah Green Energy Plant di Rawang, usahasama Kumpulan Darul Ehsan (KDEB) dan YTL Power International.
Mengulas lanjut, Ustaz Nushi menegaskan bahawa cabaran penerimaan awam terhadap projek seperti di Rawang perlu ditangani dengan fakta yang telus.
Menurut beliau. WTE bukan sekadar kaedah pelupusan moden, sebaliknya ia mampu mengurangkan isipadu sisa sehingga 90 peratus, menggunakan tanah yang jauh lebih kecil berbanding tapak pelupusan konvensional, serta menjana tenaga secara konsisten.
“Isunya bukan sama ada kita suka atau tidak, tetapi sama ada kita bersedia membuat keputusan sukar demi kelestarian jangka panjang.
“Peralihan kepada WTE menuntut keputusan yang berdisiplin dan berpandangan jauh. Ia bukan tentang mencari jalan paling mudah, tetapi memilih pendekatan yang paling lestari,” jelasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, turut mengingatkan bahawa projek berskala besar seperti ini perlu diteliti secara berterusan.
“Peranan Jawatankuasa Pilihan dan ADUN adalah memastikan kemajuan yang dibentangkan mematuhi piawaian keselamatan, tertakluk kepada akauntabiliti, dan benar-benar memenuhi kepentingan awam,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/1/2026











