PAS bukan radikal, lihat rekod negeri yang ditadbir

Bukti keharmonian kaum 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan bahawa pandangan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker terhadap PAS adalah tidak tepat dan tidak berasaskan fakta serta rekod sebenar parti itu.

Beliau berkata sebagai seorang ahli politik senior dan berkelulusan undang-undang daripada universiti tempatan, Lian Ker sepatutnya tidak berpandangan silap terhadap PAS.

“Sebagai seorang pengamal undang-undang, penulisan dan kenyataan beliau (Lian Ker) seharusnya berasaskan fakta dan rekod, bukan sentimen dan emosi,” ujar Ustaz Idris dalam media sosial miliknya.

Menurutnya, politik emosi dan tidak berfakta semakin ditolak oleh rakyat Malaysia, termasuk masyarakat Cina yang kini semakin matang dalam menilai realiti politik negara.

Ahli Parlimen Bagan Serai yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, PAS mempunyai pengalaman mentadbir sangat panjang, khususnya di Kelantan.

“PAS memerintah Kelantan dari tahun 1959 hingga 1978 (19 tahun), dan seterusnya dari 1990 hingga ke hari ini. Ertinya, hampir 54 tahun pengalaman mentadbir,” jelasnya.

Menurut beliau, sekiranya PAS benar-benar sebuah parti radikal seperti didakwa, hubungan kaum di Kelantan tidak akan kekal aman dan harmoni seperti hari ini.

“Hakikatnya, masyarakat Cina di Kelantan hidup bebas beragama, berniaga dan mengamalkan budaya mereka tanpa gangguan,” terangnya.

Beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai Naib Presiden PAS menegaskan bahawa parti ini tidak pernah berubah dari segi prinsip perjuangan, sama ada dahulu atau sekarang.

“Yang berbeza hanyalah pendekatan dan gaya pentadbiran, selari dengan perubahan zaman,” tegasnya membetulkan salah faham Lian Ker itu.

Beliau menegaskan walaupun terdapat Menteri Besar PAS yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama secara formal, prinsip perjuangan Islam tetap kekal utuh.

“Perubahan yang ada hanyalah pada penampilan, ada yang berkopiah, ada yang bersongkok, ada yang berjubah , tetapi pemikiran dan dasar tetap sama. Yang pasti, semuanya berpegang kepada nilai kesopanan dan akhlak Islam,” katanya.

Ustaz Idris berkata, PAS tidak pernah menghalang ahlinya untuk bersosial, bergaul dan meraikan kepelbagaian budaya serta agama dalam negara.

Malah menurutnya, PAS mendidik ahlinya supaya memberi kebebasan beragama kepada penganut agama lain, tidak menghina agama orang lain dan tidak berlaku zalim terhadap bukan Islam.

“Prinsip ini bukan slogan politik, tetapi keyakinan akidah ahli PAS bahawa kezaliman dan penghinaan terhadap manusia lain akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak,” tegasnya lagi.

- Advertisement -

Mengulas sejarah parti itu, Ustaz Idris berkata PAS ditubuhkan pada tahun 1951 dan lebih lama menjadi pembangkang berbanding berada dalam kerajaan.

Menurutnya, PAS pernah menjadi kerajaan pada tahun 1973 hingga 1978 bersama Barisan Nasional, serta dari Februari 2020 hingga November 2022.

“Walaupun ditekan, difitnah dan diserang dari pelbagai sudut, PAS kekal utuh,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, kekuatan PAS terletak pada dasar dan matlamat yang jelas, bukan retorik kosong.

“Banyak parti pembangkang lain telah tenggelam dan hilang dari persada politik negara, tetapi PAS terus bertahan dan berkembang,” katanya.

Ustaz Idris menyeru Lian Ker dan mana-mana pihak yang masih meragui PAS supaya berdialog secara matang dan berfakta.

“Tidak perlu emosi atau tohmahan kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Kebenaran tidak takut kepada dialog,” katanya.

Terdahulu, Lian Ker menulis di media sosialnya dengan menempelak PAS, sambil menyatakan bahawa ancaman yang lebih besar ialah apabila PAS berkuasa sendirian tanpa gabungan, berbanding perpecahan PN dan kemungkinan BERSATU menjauhkan diri daripada PAS yang dilihat sebagai kelemahan pembangkang.

Dakwanya, gabungan memaksa PAS berkompromi, bersederhana dan bertanggungjawab terhadap realiti ekonomi, Perlembagaan serta masyarakat majmuk, manakala PAS tanpa kekangan lebih cenderung kepada sikap ekstrem dan radikal.

Tambahnya, sejarah menunjukkan kuasa yang diimbangi kompromi lebih terkawal, sedangkan kuasa mutlak tanpa kekangan berpotensi membawa kemudaratan yang lebih besar. – HARAKAHDAILY 2/1/2026

- Advertisement -