
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah parti politik yang bergerak dalam sistem demokrasi berparlimen dan terikat dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pandangan Datuk Seri Ti Lian Ker mengenai PAS, khususnya berhubung kemungkinan PAS menerajui Perikatan Nasional (PN), dibuat berdasarkan kebimbangan terhadap sesuatu yang tidak dikenali sepenuhnya.
Menurutnya sebagai seorang ahli PAS, dirinya tidak terganggu atau marah dengan pandangan bekas Naib Presiden MCA itu, sebaliknya memahami ia datang daripada seorang pemimpin bukan Islam yang berhati-hati terhadap PAS.
“Lebih sedih jika enggan pula mendapat maklumat sebenar sebagaimana pimpinan DAP,” ujarnya penganalisis politik itu dalam media sosial miliknya.
Roslan berkata beliau turut terusik melihat paparan poster berkaitan PAS yang menurutnya biasa dikaitkan dengan parti itu oleh DAP.
“Pun untuk berlaku adil, saya tidak makan hati kata orang, kerana takkanlah tokoh seperti Ti mahu mempromosi dan menyeru rakyat mengundi PAS, selagi beliau belum kenali ia sepenuhnya.
“Isi poster seperti ini biasa sahaja dilonggokkan kepada PAS oleh DAP,” bidasnya merujuk kepada poster yang dikepilkan Ti dalam tulisannya yang bertajuk ‘PAS Moderate dan PAS Mutlak’.
Jelas Roslan, kebimbangan bahawa PAS akan melaksanakan perjuangannya secara mutlak sekiranya berkuasa tidak mengambil kira realiti politik sebenar.
“Ti dalam tulisannya bimbang jika ditakdirkan PAS berkuasa bersendirian, ia akan melaksanakan segala cita-cita perjuangannya yang beliau faham sebagai sesuatu yang akan mengancam kebebasan dan hak masyarakat bukan Melayu atau Islam.
“Meminjam kata-katanya menjadi ‘(PAS mampu jadi) golongan puris tanpa perlu berpijak pada realiti pentadbiran yang sebenar’. Mungkin jika PAS ada golongan ekstremis dan tidak bergerak atas landasan demokrasi berparlimen, adil anggapan itu.
“Tetapi PAS sebuah parti politik sebagaimana MCA, DAP dan lain-lain, bolehkah ia berbuat demikian sejujurnya jika ia berkuasa sekalipun?” soalnya.
Roslan berkata, PAS sendiri sedar bahawa parti itu tidak boleh membentuk kerajaan secara majoriti di peringkat Persekutuan yang mempunyai 222 kerusi Parlimen.
Bagaimanapun katanya, PAS berpotensi berkuasa di beberapa negeri khususnya di kawasan yang digelar ‘Malay belt’ seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, serta mungkin beberapa negeri lain.
Sehubungan itu, beliau berkata, PAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berkongsi kepentingan bersama, sebagaimana kerjasama politik PAS dengan Parti Negara, Semangat 46, DAP, PKR dan kini BERSATU serta parti-parti lain.
Roslan berkata, dasar PAS sejak penubuhannya adalah Islam dan tujuan perjuangannya adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang melaksanakan nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukum menuju keredhaan Allah, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS.
Menurut beliau, untuk mencapai tujuan itu, PAS memilih jalan demokrasi berparlimen dengan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan mematuhi undang-undang negara.
Beliau berkata, segala usaha PAS perlu selari dengan peraturan dan amalan demokrasi kerana parti itu tidak berjuang melalui keganasan, sebaliknya melalui proses demokrasi.
“Oleh itu berbahaya apakah PAS sebenarnya, kecuali kita sendiri tidak yakin pada Perlembagaan Negara yang menjamin demokrasi berparlimen itu?
“PAS untuk pengetahuan Ti (sejujurnya sebagai seorang lulusan undang-undang saya pasti Ti lebih tahu) akan terpaksa patuh dan menerima amalan dan peraturan sedia ada, kerana ia berjuang bukan melalui kaedah keganasan tetapi atas pentas demokrasi,” terangnya.
Roslan berkata tidak wajar memberikan gambaran negatif dan menakut-nakutkan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam terhadap PAS.
“Biarkanlah DAP sahaja buat kerja kotor itu. Bagi yang lain termasuklah Ti saya sarankan teruslah ‘engage’ dan membuka talian serta ruang perbincangan dengan PAS agar anda dan ramai lagi akan lebih mengenali PAS dan tidak termakan dakyah DAP.
“PAS is here to stay. Tak kenal maka tak cinta. Bukalah peluang untuk mengenali PAS dan jangan termakan dakyah pihak tertentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/1/2026











