Kor Siswa Amal beri khidmat pada malam tahun baharu

Salah seorang anggota Kor Amal Siswa yang bertugas
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kor Siswa Amal telah memberikan khidmat sukarela kemasyarakatan mereka apabila melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan persekitaran seusai Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dataran Merdeka, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program ini menyaksikan penglibatan mahasiswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang yang menjadi simbol komitmen anak muda terhadap nilai tanggungjawab, kesukarelawanan dan kepedulian terhadap alam sekitar.

Jika sebelum ini Anggota Jabatan Amal Malaysia (Amal) sering berada di barisan hadapan memastikan setiap himpunan awam diakhiri dengan keadaan yang bersih dan teratur, kali ini peranan tersebut diteruskan oleh generasi pelapis melalui Kor Siswa Amal.

Kehadiran mereka membuktikan bahawa sambutan tahun baharu bukan sekadar perayaan, tetapi boleh dimaknai dengan khidmat amal bakti dan tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Ketua Kor Siswa Amal, Aziz Zakwan yang juga pelajar tahun akhir Universiti Malaya mengetuai koordinasi dan pelaksanaan aktiviti kebersihan sepanjang program berlangsung.

Turut hadir memberikan sokongan dan memantau pelaksanaan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Shehdi Hazrik Shamsudin.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan penghargaan terhadap kesungguhan para mahasiswa serta menggalakkan lebih ramai siswa dan siswi daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai Kor Siswa Amal.

Menurut beliau, ia sebagai platform pembinaan jati diri, kepimpinan dan khidmat untuk golongan tersebut memberikan khidmat sukarela kepada masyarakat.

Program sempena Tahun Baharu Bersih 2026 ini mencerminkan mesej jelas bahawa tahun 2026 dimulakan bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan berteraskan nilai amal, tanggungjawab dan kesedaran sivik. – HARAKAHDAILY 2/1/2026

- Advertisement -