
SAMBUTAN tahun baru 2026 ‘menyala’ ungkap anak-anak muda milenial, dentuman semarak bunga api dengan kiraan detik 12:00 malam menutup tirai 2025 dengan seribu catatan pahit manis. Terpencar luas hari ini di media sosial video anak-anak muda bergelimpangan di luar TREC Kuala Lumpur, pusat hiburan terbesar di Lembah Klang, juga berdesakan anak-anak muda dalam kawasan segi tiga Bukit Bintang merayakan malam ambang tahun baru.
Sambutan tahun baru di kota raya Kuala Lumpur sudah setaraf kota London atau kota Paris, kata temanku. Anak muda tunggang terbalik dengan kencing muntah merata-rata bukan lagi perkara pelik namun ironinya berbungkus falsafah ‘madani’ yang herot.
Hari ini, penulis menaiki teksi di lapangan terbang, seorang pemandu tua berbangsa Tionghoa. Sosok renta itu membebel mengenai budaya sambutan melampau Tahun Baru di Kuala Lumpur dengan anak muda mabuk yang katanya anak-anak Melayu lebih parah berbanding anak muda Cina. Jelas, pergaulan bebas sudah tidak terkawal kerana rejim Madani ini tiada pertimbangan ukhrawi. Jika kerajaan PAS mengisi ruang sambutan tahun baru dengan pengisian ilmu, berselawat serta hiburan patuh syariah, maka sebaliknyalah yang berlaku di negeri PH-BN.
Di negara ini, PAS mempunyai umur paling panjang sebagai wadah politik, juga sebagai pertubuhan politico dakwah kontemporari. Penubuhannya juga pada tahun 1951 mempunyai kaitan dengan isu perjudian iaitu loteri kebajikan masyarakat yang tidak ditentangi Umno sehingga ulama merasakan perlunya sebuah platform tersendiri umat bagi mencegah kemungkaran. Dari titik itu, gabungan aktivis alumni Hizbul Muslimin yang diharamkan penjajah akhirnya menegakkan wadah mulia ini, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu.
Malaya dalam dekad 1950-an, seperti kebanyakan negara umat Islam yang lain masih dibelenggu oleh ‘the blue eyes mentality’, obses dengan apa sahaja yang datang dari Barat. Cara hidup kelompok professional dan kelas menengah Melayu juga sangat kuat dipengaruhi dunia Barat. Maka, tidak peliklah apabila pemimpin-pemimpin kelas atasan Melayu kebanyakannya adalah lulusan dari England, termasuk pegawai-pegawai tentera daripada Sandhurst Military College. Kekaguman melampau pada Barat ini termasuk menyerap sistem nilai Barat yang pincang.
Mahasiswa dan mahasiswi terpegun dengan ideologi sosialis, sehinggakan kampus subur membiak fahaman ini dengan cara hidup bohemian. Dekad 1960-an menyaksikan gerakan pelajar aktif dengan demonstrasi serta bantahan awam, fenomena ini mendunia dengan berlakunya penaklukan Amerika ke atas Vietnam.
Gerakan pelajar terinspirasi oleh gerakan kiri serta rebel, bahkan ada pemimpin pelajar kampus tempatan yang bergerila di dalam hutan sehingga terbunuh.
Pelbagai acara sosial dekad tersebut disertakan dengan acara minum arak, majlis berdansa serta percampuran bebas lelaki dan perempuan. Keadaan hidup masyarakat bandar jauh daripada agama secara umumnya. Masjid di bandar-bandar tidak popular dengan majlis pengajian agama, tidak sebagaimana selepas dekad kebangkitan semula Islam.
Dekad 1960-an, perkara tahyul serta khurafat masih menyelimuti masyarakat orang Melayu negara ini. Pesta puja pantai dengan tarikan pesona kepada acara hiburan seperti Mak Yong, berdikir, rodat, bagih, main puteri (main tteri), berlaga ayam, lembu dan kambing dengan konsep perjudian. Acara mandi Safar juga dirayakan oleh masyarakat dekad 1960-an sehinggalah ianya terhenti di zaman kebangkitan semula Islam. Para asatizah PAS berkeliling kelalang meluruskan kefahaman Islam dalam masyarakat sehingga reda kerancuan berfikir serta amalan yang bercanggah dengan syariat.
Berlakunya tragedi 13 Mei 1969 telah menjadi titik mula kepada kebangkitan semula Islam. Kebangkitan semula Islam telah menyebabkan parti politik berorientasikan Islam mendapat laba politik (Mohamad Abu Bakar: 1994). PAS telah dijemput untuk menyertai kerajaan campuran Barisan Nasional bagi menyuntik kekuatan baru kepada kerajaan Melayu Islam. Hikmat paling besar ialah PAS berada di arus perdana bagi menggerakkan dakwah berskala besar. PAS menjadi tonggak utama dalam YADIM yang telah menganjurkan pelbagai program mengisi kehidupan dengan Islam. Almarhum Ustaz Hassan Shukri pernah mengimbau usaha melawan budaya pop Barat, antaranya membawa kumpulan nasyid tersohor dari Indonesia ke negara ini untuk mengimbangi kegilaan anak muda negara ini kepada budaya pop, rock, blues dan budaya kuning.PAS juga menentang keras iklan judi dan arak dalam media arus perdana.
Bulan dakwah yang digerakkan oleh pimpinan PAS dalam kerajaan BN saat itu termasuk kempen menutup aurat, menganjurkan pelbagai program kuliah ilmu, pemberdayaan aktiviti ilmu juga melalui Pusat Islam yang saat itu dipimpin oleh tokoh-tokoh PAS.
Menurut Dato’ Mustafa Ali, pimpinan PAS bertemu Perdana Menteri untuk mendesak agar tiada hidangan arak dalam majlis jamuan makan yang dianjurkan oleh kerajaan. Hasil desakan PAS dalam kerajaan dalam dekad 1970-an, tiada lagi iklan arak dalam media arus perdana, wujudnya laungan azan di radio dan televisyen serta pelbagai tekanan lain agar kerajaan mengambil kira sensitiviti umat Islam dalam melaksanakan sesuatu dasar.
Dalam dekad 1980-an, Pemuda PAS memberikan reaksi keras terhadap program-program bersalut maksiat dan kemungkaran. Konsert-konsert hedonisme dibantah termasuk anak kampus berfikrah PAS membantahnya dalam pagar kampus. Konsert-konsert Tina Turner, Scorpions, Sheila Majid serta puluhan konsert yang lain termasuk pesta konvokesyen yang menyelitkan program kemungkaran. Pemuda PAS paling terkedepan menangani isu penyelewengan akidah dan murtad. Serangan pemikiran terus dilawan oleh abnaul Harakah dalam tempoh lebih tujuh dasawarsa bergulat dengan lapangan dakwah, tarbiah serta siasah.
Sejarah tidak mampu menutup jasa kebaktian PAS dalam mencegah kemungkaran di negara ini. PAS semakin bergaya dalam mencegah kemungkaran apabila dianugerahkan dengan kemenangan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Menyahut arahan dan panduan Allah daripada ayat 41 Surah Al-Hajj, kolerasi antara punca kuasa serta tanggungjawab moral kerajaan Islam untuk mencegah kemungkaran. Lihatlah iltizam politik kerajaan PAS menutupi premis judi, menyekat budaya hedonisme serta hiburan bersalut syirik dan khurafat.
Rakyat Kelantan menjadi saksi bagaimana pusat maksiat terbesar iaitu ‘Paris Malaya’ di Kelantan dibasmi oleh kerajaan pimpinan PAS. Oh, lupa! Mencegah kemungkaran serta kemaksiatan ini hanya milik PAS kah? Apakah peranan kelompok-kelompok lain termasuk mufti populis, atau hanya pandai melebarkan pergeseran sektarian di negara ini?
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 2/1/2026











