
ROMBAKAN Kabinet terbaharu Kerajaan Perpaduan sepatutnya menjadi detik muhasabah nasional terhadap kegagalan menunaikan janji dan manifesto yang diangkat sejak lebih sedekad lalu.
Namun apa yang dipersembahkan kepada rakyat hanyalah perubahan susunan jawatan tanpa disertai keberanian politik untuk mengakui kesilapan, apatah lagi membentangkan pelan pembetulan dasar yang jelas, berangka dan boleh dipertanggungjawabkan.
Sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Anwar Ibrahim dikenali sebagai tokoh yang lantang mengkritik harga minyak, kos sara hidup dan dasar ekonomi yang dianggap menindas rakyat.
Ucapan-ucapan beliau suatu ketika dahulu sering menjadikan penurunan harga minyak sebagai simbol keprihatinan terhadap penderitaan rakyat bawahan. Namun selepas hampir dua tahun memegang tampuk pemerintahan, realiti yang direkodkan hanyalah penurunan harga RON95 sebanyak enam sen pada Julai 2023 sebelum kembali dinaikkan.
Tiada sebarang reformasi struktur subsidi atau mekanisme baharu yang benar-benar mengubah beban kos sara hidup secara menyeluruh. Janji besar akhirnya tinggal angka kecil yang tidak memberi kesan nyata kepada kehidupan harian rakyat.
Manifesto Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 turut menjanjikan kebebasan media dan kebebasan bersuara sebagai tonggak utama demokrasi baharu Malaysia. Retorik reformasi menjanjikan era baharu tanpa tekanan terhadap wartawan, aktivis dan pengguna media sosial.
Namun realitinya, sepanjang 2023 dan 2024, beberapa individu terus dipanggil siasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), manakala akaun media sosial tertentu disekat, digantung atau ‘hilang’ tanpa penjelasan yang telus.
Fenomena ini mencerminkan kesinambungan budaya kawalan, bukan pembebasan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kebebasan media benar-benar menjadi prinsip atau sekadar slogan politik ketika pembangkang.
Janji reformasi institusi pula menjadi antara kegagalan paling konsisten dan berulang. Sejak 2018, rakyat dijanjikan reformasi menyeluruh melibatkan Parlimen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pemansuhan akta-akta drakonian, serta pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Namun sehingga kini, reformasi tersebut masih terperangkap pada tahap wacana dan kenyataan media. Parlimen kekal lemah dari sudut pengawasan eksekutif, SPRM terus dipersoalkan kebebasannya, dan akta-akta yang sering dikritik kerana mengekang kebebasan masih digunakan atas nama keselamatan dan ketenteraman awam.
Ketiadaan pelan reformasi institusi yang lengkap, berperingkat dan terikat dengan garis masa jelas membuktikan bahawa reformasi ini tidak pernah menjadi keutamaan sebenar pentadbiran.
Janji untuk mengasingkan portfolio Menteri Kewangan daripada jawatan Perdana Menteri turut berakhir sebagai satu lagi retorik reformasi yang ditinggalkan. Prinsip ini pernah diangkat sebagai keperluan mendesak bagi mengelakkan konflik kepentingan dan memperkukuh tadbir urus fiskal negara.
Namun kerajaan hari ini memilih untuk mengekalkan penguasaan dua kuasa eksekutif paling penting di tangan individu yang sama, sekali gus menafikan janji asal dan menimbulkan persoalan tentang keikhlasan reformasi tadbir urus kewangan negara.
Dalam soal keadilan politik dan federalisme, manifesto juga menjanjikan peruntukan yang adil kepada pembangkang serta keseimbangan pembangunan wilayah tanpa diskriminasi politik. Namun aduan wakil rakyat pembangkang mengenai ketidakseimbangan agihan peruntukan terus berlarutan, manakala projek pembangunan dilihat lebih tertumpu kepada kawasan tertentu.
Keadaan ini mencerminkan kesinambungan budaya politik lama yang mempolitikkan peruntukan awam, bercanggah dengan semangat reformasi dan keadilan yang dijanjikan kepada rakyat.
Lebih mencemarkan imej kerajaan reformasi apabila isu rasuah yang melibatkan individu di sekeliling kepimpinan tertinggi terus menghiasi laporan media dan perbualan awam. Walaupun kerajaan sering menegaskan komitmen memerangi rasuah, persepsi awam semakin terhakis apabila tindakan tegas dilihat selektif dan tidak menyeluruh.
Dalam konteks ini, janji memerangi rasuah tanpa kompromi semakin dilihat sebagai slogan kosong yang gagal diterjemahkan dalam tindakan konsisten.
Isu pendidikan pula memperlihatkan jurang paling jelas antara janji dan realiti. Manifesto awal menjanjikan pendidikan percuma dan pembelaan terhadap generasi muda yang dibebani hutang. Namun hari ini, hutang PTPTN kekal melebihi RM70 bilion, dan peminjam terus dikejar pembayaran, termasuk ugutan sekatan perjalanan ke luar negara.
Pendekatan keras ini bukan sahaja bercanggah dengan janji asal pendidikan percuma, malah menambah tekanan kepada golongan muda yang berdepan pasaran kerja tidak stabil, gaji rendah dan kos sara hidup terus meningkat.
Dalam landskap kegagalan inilah kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan ‘menyemak dan menilai semula’ janji-janji yang gagal selepas rombakan Kabinet dilihat sebagai pengulangan skrip lama politik Malaysia.
Sejak 2018, tiada satu pun laporan rasmi dibentangkan di Parlimen yang menyenaraikan janji gagal, sebab kegagalan dan pelan pembetulan secara telus. Tiada audit bebas prestasi manifesto, tiada KPI awam yang boleh dipantau rakyat, dan tiada pertanggungjawaban politik terhadap menteri yang gagal melaksanakan amanah.
Data ekonomi pula mengesahkan keresahan rakyat bukan sekadar persepsi. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan inflasi makanan kekal antara 4 hingga 6 peratus sepanjang 2023 dan 2024, manakala laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan nisbah hutang isi rumah kekal melebihi 84 peratus KDNK.
Ini bermakna tekanan kewangan rakyat berterusan, sementara kerajaan terus berbicara tentang review dan rombakan tanpa penyelesaian struktural.
Rombakan Kabinet tanpa pengakuan kegagalan dan tanpa perubahan dasar yang substantif hanya mengukuhkan persepsi bahawa manifesto telah direduksi menjadi alat kempen, bukan kontrak moral dengan rakyat. Janji ‘review’ pula semakin dilihat sebagai helah politik untuk membeli masa dan meredakan tekanan, bukan usaha membina semula kepercayaan awam.
Persoalan akhirnya bukan sama ada kerajaan mampu menyemak semula janji lama, tetapi sama ada kerajaan berani mengakui bahawa banyak janji itu gagal, dan sanggup membayar harga politik untuk membetulkannya. Tanpa keberanian tersebut, rakyat tidak lagi boleh dipersalahkan jika memilih untuk tidak percaya.
Dalam sebuah negara yang bermaruah, janji bukan sekadar kata-kata, tetapi amanah. Apabila amanah dikhianati berulang kali, yang runtuh bukan sahaja kepercayaan kepada kerajaan, tetapi keyakinan terhadap demokrasi itu sendiri.
Jika keadaan ini berterusan, sejarah akan merekodkan bahawa kegagalan ini bukan sekadar kegagalan pentadbiran, tetapi kegagalan moral terhadap rakyat yang terus berharap kepada perubahan sebenar.
IQMAN IBERAHIM – HARAKAHDAILY 30/12/2025











