
KUALA LUMPUR: Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menyeru seluruh kepimpinan politik dan rakyat jelata untuk kembali kepada agenda penyatuan ummah dengan mencari titik persamaan demi kestabilan negara.
Menurut beliau, tenaga dan masa yang ada sepatutnya digembleng untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat, ekonomi, dan kedaulatan negara, bukannya dihabiskan untuk bertelagah sesama sendiri.
”Kita perlu berlapang dada dan membuang ego untuk duduk berbincang atau setidak-tidaknya mengamalkan politik matang dan sejahtera. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi asbab untuk kita bermusuh sehingga memutuskan silaturahim.
“Kepada ahli-ahli dan penyokong PAS khususnya, serta umat Islam amnya, marilah kita menjadi contoh tauladan dalam mempamerkan kematangan berpolitik,” ujar beliau dalam satu kenyataan dimuat naik di media sosialnya sebentar tadi.
Tuan Guru turut memberi seruannya untuk seluruh anggota PAS kekalkan fokus kepada gerak kerja dakwah dan kebajikan, serta mengelakkan daripada terheret dalam kancah provokasi yang tidak berkesudahan.
Katanya, PAS memerhati dengan penuh insaf suasana politik tanah air mutakhir ini yang dilihat semakin panas dengan pelbagai polemik di mana bimbang adalah budaya tuduh-menuduh, serangan peribadi, dan lemparan tohmahan.
“Dilihat semakin membarah dan menjauhkan kita daripada adab sopan serta akhlak Islamiah. Suka untuk saya memperingatkan diri saya dan semua pihak, bahawa budaya tuduh-menuduh tanpa asas yang kukuh tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada agama, bangsa, mahupun negara.
“Sebaliknya, ia hanya akan melebarkan jurang perpecahan, menyemai benih kebencian, dan akhirnya merugikan rakyat yang mendambakan pembelaan nasib mereka. Islam mengajar kita untuk bersangka baik (husnuzon) dan menyiasat sesuatu berita (tabayyun) sebelum menyebarkannya.
“Firman Allah SWT di dalam Al-Quran jelas melarang kita daripada saling mencela dan memanggil dengan gelaran yang buruk. Justeru, hentikanlah segala naratif yang bersifat fitnah dan serangan yang memecahbelahkan.
”Semoga Allah SWT melembutkan hati-hati kita untuk bersatu padu dan memelihara negara ini daripada sebarang kemudharatan perpecahan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2025











