Bai’ah PAS: Mufti Perlis rasa yang mana ‘memalukan’?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman membidas kritikan Mufti Perlis terhadap teks bai’ah PAS yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Rakyat dan juga Ahli Dewan Negara.

- Advertisement -

Beliau meminta Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk menunjukkan bahagian dalam kandungan tersebut yang dianggap agamawan itu sebagai ‘memalukan’ dan bercanggah peraturan ditetapkan dalam Islam termasuk cerai taklik.

Sebaliknya beliau menjelaskan isu bai’ah merupakan salah satu mekanisme bagi memastikan integriti dan kesetiaan wakil rakyat kepada mandat rakyat dan perjuangan parti tidak dikhianati dengan gejala lompat parti.

“Kepada Sohibus Samahah Mufti, tunjukkan di mana perkara yang ‘memalukan’ di dalam teks lafaz bai’ah dan sumpah ini? Tiada di Perlis. Kita diajar, jangan diadakan perkara yang tiada. Tabayyun, laisa ‘Tibayyun’,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Bachok itu turut memuat naik surat Majlis Syura Ulamak PAS berkenaan kandungan teks bia’ah yang dikenakan kepada semua Ahli Perundangan PAS tersebut

“Bahawa saya berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasul-Nya dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Dan bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan sendiri setelah dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi ADUN atau Dewan Rakyat atau dilantik menjadi Senator.

“Maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasulnya, orang orang yang beriman serta sekalian yang melaknat dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ahli dewan yang tersebut adalah haram.

“Bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah untuk meletak jawatan dari menjadi ADUN atau Dewan Rakyat yang terbabit. Apabila kami keluar atau dipecat dari parti,” demikian petikan teks lafaz bai’ah itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Mohd Asri mengeluarkan kritikal terhadap sumpah bai’ah yang dilaksanakan oleh sebuah parti politik, merujuk kepada PAS ketika mengulas mengenai situasi politik berlaku di Perlis.

Isu berkaitan berbangkit selepas tiga wakil rakyat PAS menyerahkan Akuan Berkanun (SD) kepada Raja Perlis sebelum ini bagi menyatakan tidak menyokong kepimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Tiga ADUN dari PAS itu ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) bagaimanapun disahkan telah terhenti keahlian sebagai ahli PAS disebabkan tindakan itu. – HARAKAHDAILY 29/12/2025

- Advertisement -