
KUALA LUMPUR: “Semua pihak mesti menghormati syarat dan pendirian masing-masing. Kalau kita guna bahasa hari ini ‘we agree to disagree’ (kita bersetuju untuk tidak bersetuju). Ini asas yang paling penting,” kata Naib Presiden PAS.
Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan sikap PAS terhadap sebarang kerjasama politik, termasuk mengulas gesaan sesetengah pihak agar Muafakat Nasional (MN) diaktifkan semula sebagai satu pakatan politik antara dengan Umno.
Jelas beliau, PAS sentiasa mengamalkan konsep keterbukaan dalam sebarang rundingan termasuk membabitkan kerjasama bersama Umno bagi memastikan kelangsungan kuasa politik Melayu dan juga Islam di negara ini.
“Kalau orang tidak boleh menghormati prinsip kita perjuangan kita, buat apa kita bekerjasama? Jadi ini bukan salah kita. Boleh baca semua sejarah ini ada depan mata kita, orang menuduh kita macam-macam itu dan ini.
“Bukan kita yang putuskan kerjasama politik sebelum ini, boleh ‘check’ satu-satu, ini kena faham. Jadi sebab itu bagi saya, sesiapa sahaja, kita sedia (sebarang situasi). Yang penting kaedah dan prinsip tidak boleh dilanggar,” katanya.
Beliau mengulas mengenai masa depan Muafakat Nasional yang kini berada antara usaha menghidupkan semula sebagai pakatan politik atau mengekalkannya sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai Tan Sri Annuar Musa.
Malah mengulas wujud desakan akar umbi termasuk pimpinan Umno Bahagian untuk merealisasikan hasrat tersebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-16, bagaimanapun hal itu katanya, bergantung tahap kepercayaan pucuk kepimpinan Umno sendiri.
Selain itu kepimpinan PAS termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka menyeru agar permuafakatan tersebut dapat diadakan semula dan menyatakan kesediaan untuk membuka rundingan.
Beliau turut diminta mengulas mengenai lima wakil rakyat BERSATU Perlis yang tidak dikenakan sebarang tindakan selepas menyerahkan Akuan Berkanun (SD) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis daripada PAS.
“Setia kawan ini kita bela kawan, bukan mengambil kesempatan daripada masalah yang kawan kita hadapi. Jangan lihat kawan kita tenggelam, kita biarkan dia lemas,” kata Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu.
Beliau turut mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaku tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk mereka menandatangani perakuan tersebut.
“Bagi kita kalau tiada arahan, maknanya lima orang ini sudah melanggar mandat parti. Bagaimana dia boleh buat benda yang tiada dalam arahan daripada parti, sepatutnya sebagai presiden dia kena ‘concern’ dengan isu ini.
“Bagaimana orang dia boleh buat cara yang parti pun tidak tahu, sampai tumbangan kerajaan? Jadi ‘at least’ kena ada satu tindakan,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Ambang Tahun Baru PAS Lembah Pantai di sini.
Susulan kemelut di Perlis itu, tiga orang wakil rakyat PAS yang bersekongkol dalam gerakan tersebut untuk menjatuhkan mantan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli telah terhenti keahlian sebagai ahli PAS.
Ia membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Saad Seman dan ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim berkuatkuasa serta-merta pada 24 Disember lalu.
Bahkan Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, telah mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi ketiga-tiga kerusi tersebut pada 25 Disember 2025 selaras Undang-unfang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
Susulan itu juga Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatan pada hari sama sebelum Abu Bakar Hamzah secara rasmi mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pada 28 Disember dihadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. – HARAKAHDAILY 29/12/2025











